Buat si penjaga Kinabalu

Orang Sabah percaya bahawa Gunung Kinabalu berada di bawah perlindungan Aki Nabalu, iaitu roh suci yang hidup sejak berbilion-bilion tahun yang lalu.

Gunung Kinabalu – gunung tertinggi di Malaysia dan antara yang tertinggi di Asia Tenggara – terletak di Taman Negara Kinabalu yang merupakan salah satu daripada Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO. Puncaknya mencecah 4,095 meter (Low’s Peak) bersamaan 13,455 kaki dari paras laut, serta merupakan kawasan yang tertinggi di sepanjang Banjaran Crocker.

Seperti definisi namanya, Gunung Kinabalu ada menyimpan banyak kisah-kisah mistik mengikut kepercayaan rakyat Sabah yang tinggal di sekitarnya.

Kisah di sebalik nama Kinabalu

Gunung Kinabalu telah menjadi destinasi pilihan para pendaki gunung serata dunia yang sering mencari tempat-tempat menarik untuk diterokai. Sebagaimana setiap tapak warisan menyimpan kisah-kisah mitos yang membawa kepada status berharganya pada hari ini, Gunung Kinabalu juga dikaitkan dengan kisah dongeng yang berbeza-beza bergantung kepada kepercayaan rakyat Sabah.

Satu daripadanya ialah kisah di sebalik nama Kinabalu yang dikatakan diambil dari Aki Nabalu. Aki bermaksud ‘nenek moyang’ manakala Nabalu bermaksud ‘gunung’. Secara kasarnya, nama tersebut diterjemahkan menjadi ‘Gunung Nenek Moyang’.

Pengamal kepercayaan pagan atau etnik Kadazandusun yang menetap berdekatan gunung percaya bahawa roh mereka akan bersemadi di puncak gunung selepas mereka meninggal dunia. Malah, roh-roh nenek moyang mereka juga ada dan akan terus kekal di sana.

Di samping itu, ada kepercayaan teguh bahawa Aki Nabalu adalah semangat yang indah dan suci yang menjaga kesejahteraan Gunung Kinabalu.

Kelahiran Aki Nabalu

Lebih berbilion-bilion tahun dahulu, Kinorohingan (atau dikenali sebagai Tuhan) mempunyai dua orang anak, Taadakon dan Bulantoi. Kedua-duanya berbeza personaliti, sementara Taadakon lebih berperanan sebagai penjaga Bumi, Bulantoi pula sering memberi kesusahan kepada manusia.

Melihatkan situasi itu, Kinorohingan mengarahkan Taadakon untuk tinggal di Gunung Kinabalu, sekali gus menjadi penjaga kepada semua penghuni yang mendiaminya. Manakala Bulantoi terus berkeliaran di kawasan hutan dan mengacau manusia. Sejak itu, Taadakon dikenang oleh penduduk Sabah sebagai Aki Nabalu, iaitu roh suci si penjaga gunung yang terus hidup sehingga ke hari ini.

Aki Nabalu penjaga gunung

Sejarah kebesaran Aki Nabalu tersingkap jauh ke tahun 1942 ketika Jepun cuba untuk menakluki Sabah yang pada masa itu dikenali sebagai Borneo. Telah diceritakan bahawa semasa pihak tentera Jepun cuba untuk meletupkan Gunung Kinabalu, dua bom yang diletakkan ternyata gagal berfungsi.

Apabila cubaan yang ketiga dilakukan di puncak gunung, tiba-tiba muncul satu rumah dan bersamanya seorang manusia bertelinga besar yang menuding jari ke arah kapal tentera Jepun. Dek kerana ketakutkan, tentera Jepun sekali lagi gagal meletupkan Gunung Kinabalu.

Kisah ini menjadi bukti buat masyarakat tempatan bahawa Aki Nabalu benar-benar wujud dan telah melindungi Gunung Kinabalu daripada sebarang kemusnahan sejak berbilion-bilion tahun lamanya.

Gempa bumi berpunca daripada kemarahan Aki Nabalu

Semangat Aki Nabalu semakin tenggelam dan dilupakan dalam arus pemodenan di Sabah, namun gempa bumi yang melanda bumi Borneo tersebut pada 5 Jun 2015 mengingatkan kembali rakatnya tentang kewujudan Aki Nabalu.

Puncak Kinabalu merupakan tempat yang terjaga kesuciannya, oleh itu apabila sekumpulan pelancong Eropah yang mendaki gunung tersebut berkelakuan tidak senonoh (berbogel) pada 31 Mei 2015, penduduk tempatan percaya bahawa kesuciannya telah dicemari lalu membangkitkan kemarahan Aki Nabalu. Akibat daripada gempa tersebut, puncak gunung runtuh dan berubah bentuk, dan tragedi itu merekodkan 18 kematian termasuklah empat malim gunung.

Demi menenangkan kemarahan Aki Nabalu, Majlis Penasihat Gunung Kinabalu telah melakukan satu upacara yang dipanggil Posogit, iaitu dengan mengorbankan seekor kerbau untuk dipersembahkan kepada si penunggu Gunung Kinabalu. Mantera turut dibacakan bagi merayu kemaafan Aki Nabalu.

Gunung Kinabalu kekal sebagai lambang kemegahan rakyat Sabah

Selain kisah Aki Nabalu, Gunung Kinabalu masih juga menyimpan banyak kisah-kisah dongeng yang lain, antaranya yang berkaitan seekor raksasa sungai yang besar iaitu Tambuakar, Datuk Gunting Lagadan pendaki berbangsa Dusun yang pertama, dan legenda Cina Balu.

Walau apa pun kisah yang termeterai, ia tidak akan mengubah satu hakikat, iaitu Gunung Kinabalu ialah lambang kemegahan seluruh penduduk di Sabah.

Want More Story From Us?