Seruan untuk memboikot sudah menjadi begitu sinonim dalam masyarakat Malaysia hari ini. Tetapi, adakah memboikot penyelesaian kepada setiap masalah yang ada?
Salah satu cara rakyat Malaysia menangani krisis ialah dengan memboikot – suatu perbuatan mengecualikan diri daripada membeli, menyokong, atau berurusan dengan sesuatu produk, organisasi, atau pun individu atas sebab-sebab tertentu.
Antara sasaran yang sering menjadi ‘mangsa’ boikot adalah restoran rantaian makanan segera McDonald’s yang pernah dituduh mempunyai pertalian dengan Israel. Hubungan erat antara Malaysia dan Palestin memujuk hati ramai penduduk negara ini untuk memboikot McDonald’s tanpa memahami isu sebenar. Akibatnya, 12,000 orang pekerja restoran, yang mana 85% daripadanya merupakan Melayu-Muslim, menjadi mangsa diskriminasi dan keganasan dalam kempen boikot terbesar pada tahun 2014.
Budaya memboikot bukan lagi sesuatu yang baharu di Malaysia. Malah, dalam insiden yang berlaku baru-baru ini, para pengguna perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda melancarkan boikot selepas syarikat rintisan tersebut mengubah skim bayaran untuk pekerja-pekerjanya.
Kenapa boikot?
Terdapat banyak sebab kenapa seseorang individu atau sekumpulan rakyat memutuskan untuk memboikot sesuatu produk atau perkhidmatan, antaranya ialah supaya suara mereka didengar dan perasaan mereka diperaku.
Walau bagaimanapun, berdasarkan konteks situasi di Malaysia sejak akhir-akhir ini, aktiviti memboikot lebih banyak dimotivasikan oleh fahaman politik, agama, dan juga semangat perkauman. Sebagai contoh, ‘boikot produk bukan Muslim’ bermula dengan perselisihan faham tentang isu pengenalan pembelajaran khat (atau jawi) di sekolah-sekolah yang menyimpang ke sudut lain sehingga menjadi luar kawalan.
Tambahan pula, kebanyakan kelompok pengguna memboikot sebagai cara mereka untuk mempertahan benteng nurani dan moral mereka terhadap perkara-perkara yang jelas salah, seperti memberi dana kepada Israel dalam serangan ke atas Gaza atau menganiaya gaji para pekerja yang membanting-tulang membawa untung kepada syarikat.
Boikot tidak berkesan untuk jangka masa panjang, kenapa?
Pengguna melancarkan boikot dengan harapan ia akan membawa keadilan dan kebaikan kepada semua. Namun, dengan beberapa pengecualian seperti McDonald’s, boikot tidak akan memberi impak yang besar terhadap duit yang mengalir masuk ke dalam poket syarikat.
Ini kerana pengguna mudah hilang kecenderungan atau minat terhadap sesuatu aktiviti memboikot, maka sebab itulah sukar untuk aktiviti memboikot kekal untuk jangka masa yang lama. Ia biasanya terhenti sebelum sempat kempen yang dijalankan membuahkan hasil.
Namun, ketidakberkesanan boikot tidak menghalang mereka yang terlibat dalam kempen-kempen memboikot untuk terus aktif. Hal ini demikian kerana ramai yang terpedaya dengan kepercayaan yang disebarkan orang-orang tertentu (misguided belief/ propaganda). Oleh itu, apabila kebenaran terbongkar, mereka memilih untuk tidak meneruskan kempen memboikot yang pada awalnya disertai tanpa maklumat yang sahih.
Aktiviti memboikot tidak memberi impak yang mendalam kepada jenama yang diboikot, sebaliknya meletakkan keharmonian kaum dan kebajikan mereka yang terlibat pada risiko yang tinggi. Lebih cepat kesan-kesan buruk ini difahami masyarakat, lebih cepatlah sesuatu kempen memboikot akan terhenti.
Boikot mungkin tidak efektif, tetapi ia tetap meninggalkan kesan
Kesannya tidak berpanjangan, pun begitu ia sebenarnya langkah berpengaruh untuk mendesak sesebuah organisasi mengambil tindakan yang sewajarnya.
Di samping itu, memboikot juga menjadikan syarikat yang pernah diboikot lebih sensitif dengan suara pengguna dan lebih cepat bertindak supaya mereka tidak menjadi mangsa boikot lagi di masa hadapan.
Memboikot bukan jawapan kepada semua masalah yang ada, tetapi ia memberikan jaminan dan keselesaan kepada mereka yang memboikot kerana kuasa untuk mengawal sesuatu keadaan seolah-olah berada di tangan mereka.
Tiada sesiapa yang suka ditinggalkan di belakang tanpa daya untuk bertindak apa-apa dan mengubah situasi menjadi lebih baik, maka, memboikotlah satu-satunya cara yang ada untuk mereka berasa seperti sebahagian daripada sesuatu perjuangan.