Bertukar hadiah tanda peringatan

Pokok-pokok Krismas yang memancarkan cahaya lampu berwarna-warni menghiasi ruang pusat membeli-belah – petanda bahawa Hari Natal telah tiba dan hadiah-hadiah yang dibalut kemas bakal bertukar tangan.

Seperti sambutan perayaan yang lain-lainnya di Malaysia, Hari Natal (Krismas) juga meriah diisi dengan percikan bunga api dan dekorasi pokok Krismas diterangi lampu-lampu serta dikelilingi kotak-kotak hadiah di mana-mana pusat membeli-belah terutama sekali di kota Kuala Lumpur.

Dekorasi Krismas di Suria KLCC tahun lalu.
Imej dari: livelifelah.com

Walaupun Krismas pada asalnya diraikan oleh mereka yang beragama Kristian (minoriti di Malaysia), ia telah lama berkembang menjadi perayaan yang dinikmati oleh hampir semua penduduk. Yang menjadikan sambutan Krismas lebih bermakna ialah tradisi pemberian hadiah (gift giving), atau lebih menyeronokkan, pertukaran hadiah (gift exchange).

Di negara-negara Barat, tradisi ini dikenali sebagai Secret Santa.

Akar umbinya bermula dari Skandinavia

Beberapa rujukan meletakkan Skandinavia sebagai tempat kelahiran tradisi Secret Santa.

Awalnya, ia dipanggil sebagai ‘Julklapp’‘Jul’ bermaksud Krismas, manakala ‘Klapp’ bermaksud to knock (mengetuk). Tradisi ini dipercayai bermula daripada kisah Knecht Rupert (atau Servant Rupert) yang membawa hadiah dari rumah ke rumah demi memenuhi tugas kepada tuannya iaitu St. Nicholas (Santa Claus).

Dalam tradisi ‘Julklapp’ ini, si pemberi hadiah akan mengetuk pintu mana-mana rumah yang dituju, membuka pintu, meninggalkan hadiah, dan terus beredar tanpa berjumpa tuan rumah supaya identiti terus kekal rahsia.

Ada juga pengaruh cerita rakyat dari Jerman

Menjelang Krismas, ‘Wichtel’ (pari-pari pembantu atau helper fairies) membantu Santa Claus menghantar hadiah kepada penerima. Pari-pari ini juga diterjemahkan oleh sastera Barat sebagai Christmas elves.

Ilutrasi Christmas elves.
Imej dari: Clipart-Library
Kisah Larry Dean Stewart dari Amerika

Dalam tradisi Barat, dermawan Larry Dean Stewart dianggap sebagai Secret Santa yang asal kerana beliau menderma wang dan memberi hadiah kepada penduduk Kansas yang memerlukan selama lebih 20 tahun tanpa mendedahkan identiti beliau, sehinggalah tiga bulan sebelum kematian beliau pada Januari 2007.

Sifat murah hati Stewart menjadi contoh kepada orang ramai untuk mula mempratikkan tradisi memberi hadiah atau bertukar-tukar hadiah dengan yang tersayang.

Tradisi berubah dan berkembang mengikut negara

Secret Santa dipraktikkan dalam kalangan mereka yang menyambut Krismas – setiap seorang memilih satu nama dalam satu kumpulan, sama ada ahli keluarga atau sahabat handai, maka empunya nama itulah yang bakal menerima hadiah apabila Krismas tiba.

Tradisi ini telah dikembangkan mengikut kesesuaian dan keseronokan perayaan Krismas di Malaysia. Hadiah dibeli untuk seorang penerima dengan lingkungan harga yang telah ditetapkan. Misalnya, sekiranya harga yang ditetapkan ialah RM50, maka harga hadiah yang dibeli haruslah terhad kepada angka tersebut.

Mungkin tradisi ini agak terpesong daripada tujuan sebenar pemberian hadiah ketika Krismas, iaitu untuk memperingati hadiah yang diberikan kepada Isa (Jesus) oleh three wise men: Emas (Gold), Frankincense, dan Myrrh. Walau bagaimana pun, dengan adanya harga yang ditetapkan, tidak akan wujud rasa tidak puas hati antara pemberi hadiah, memastikan wang tidak dibelanjakan lebih daripada yang sepatutnya, serta mewujudkan kreativiti dalam memilih hadiah yang terbaik.

Bagaimana dengan penduduk majoriti Muslim?

Menyambut perayaan yang memperingati Tuhan lain selain Allah swt adalah haram untuk para Muslim, maka di Malaysia yang mana penduduk majoritinya beragama Islam, ada banyak sensitiviti yang perlu dijaga.

Pun begitu, dengan peralihan hidup yang lebih moden, ramai Muslim yang turut serta dalam keseronokan memberi hadiah kepada para sahabat yang menyambut Krismas.

Ia bukan bererti mereka menyambut Krismas sama seperti penganut Kristian yang lain, tetapi sekadar menghargai persahabatan sesama mereka dengan berkongsi kegembiraan pada hari Krismas.

Want More Story From Us?