Bulan Ramadan adalah bulan mulia yang dinanti-nantikan oleh umat Islam setiap tahun. Pada bulan inilah umat Islam akan memberi tumpuan untuk beribadah kepada Allah SWT dan meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan.
Terdapat satu peristiwa istimewa yang berlaku pada bulan ini yang meninggalkan kesan yang sangat besar kepada umat Islam sehingga kini. Peristiwa Nuzul Al-Quran atau peristiwa penurunan Al-Quran merupakan peristiwa yang amat penting untuk Muslim, terutama kepada Rasulullah SAW.
Diturunkan pada malam 24 Ramadan
Peristiwa agung ini dikatakan terjadi pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW, bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masihi, ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira. Namun, terdapat pendapat yang lebih tepat tentang penurunan Al-Quran berlaku pada malam Isnin, 24 Ramadan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi.
Pendapat yang mengatakan Nuzul Al-Quran berlaku pada 17 Ramadan adalah berdasarkan ayat ke-41 surah Al-Anfaal, walhal surah itu hanyalah difokuskan kepada peristiwa perang Badar dan tiada kaitan dengan peristiwa agung itu.
Oleh sebab itu, tarikh yang lebih tepat tentang perisitiwa Nuzul Al-Quran ini adalah pada 24 Ramadan yang berdasarkan pada ayat 1 surah Al-Qadr dan ayat 1-4 surah Ad-Dhukhan.
Pada ayat-ayat tersebut telah dinyatakan oleh Allah SWT bahawa Al-Quran diturunkan pada malam yang berkat. Malam tersebut adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, keutamaannya yang lebih besar dari amalam seribu bulan, malam yang digelar sebagai malam Lailatul Qadar.
Peringkat penurunan Al-Quran
Menurut para ulama, penurunan Al-Quran ini terjadi dalam dua bentuk iaitu secara sekali gus dan secara berperingkat. Ada tiga pandangan atau peringkat tentang penurunan Al-Quran.
Pandangan pertama, penurunan Al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz. Penurunan ini dilakukan secara sekali gus untuk membuktikan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat melihat segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar terjadi. Pandangan ini dikukuhkan pada ayat 21 dan 22 surah Al-Buruj.
Pandangan kedua adalah dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia. Penurunan ini juga dilakukan secara sekali gus berdasarkan tiga ayat Al-Quran seperti yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas. Ayat-ayat Al-Quran tersebut adalah ayat 185 surah Al-Baqarah, ayat 3 surah Ad-Dhukhan dan ayat 1 surah Al-Qadr.
Pandangan ketiga adalah dari Bait al’-‘Izzah kepada Rasulullah SAW. Berdasarkan sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan majoriti para mufassirin, Al-Quran diturunkan sekali gus ke Bait al-‘Izzah di langit dunia pada malam Lailatul Qadar. Kemudiannya, Al-Quran mula diturunkan ke bumi secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW sebagai wahyu selama 23 tahun.
Namun, terdapat perselisihan pendapat tentang berapa kalinya penurunan Al-Quran dilakukan secara sekali gus. Ada sebahagian ulama berpendapat bahawa penurunan Al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah SAW melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
Ayat Al-Quran pertama dan terakhir
Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur sejak Rasulullah SAW dilantik menjadi rasul dan berakhir apabila baginda hampir wafat.
Ayat Al-Quran pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW adalah surah Al-Alaq yang diturunkan oleh Allah melalui perantaraan Malaikat Jibril. Baginda menerima ayat tersebut ketika usianya 41 tahun sewaktu baginda beribadat di Gua Hira. Manakala ayat Al-Quran terakhir yang diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.
Peristiwa Nuzul Al-Quran ini sangat bermakna untuk umat Islam terutama sekali Rasulullah SAW. Penerimaan wahyu pertama baginda telah menyebabkan agama Islam berkembang ke serata dunia.
Secara keseluruhannya, peristiwa agung ini bukanlah peristiwa biasa tetapi sejujurnya adalah satu titik permulaan bagi umat manusia untuk memahami kewujudan dirinya, yang membawa kepada ketakwaan kepada Allah SWT. Demikianlah bulan Ramadan adalah satu bulan yang sangat istimewa buat umat Islam kerana pada bulan inilah peluang untuk mereka menjadi Muslim yang lebih baik daripada sebelum ini.