Beca, Teksi Traditional yang Hampir Pupus

Beca juga sudah berada di ambang kepupusan dan satu hari nanti apabila kenderaan tiga roda ini sudah tiada, adakah ia akan dilupakan oleh generasi sekarang dan masa depan?

Rakyat zaman sekarang hanya mengambil mudah atas segala perkara atau benda yang berada di sekitar mereka. Mereka akan menyedari sesuatu perkara itu apabila ia sudah tiada dan ia hanya menjadi satu nostalgia sahaja.

Usaha untuk Kekal Relevan

Di Melaka, beca ini adalah antara tarikan pelancong yang popular pada satu ketika dahulu. Tidak kira pelancong tempatan ataupun luar negara, ramai yang pasti tertarik untuk menaiki beca ini.

Semua ini adalah atas usaha penarik beca yang ingin kekal relevan dalam perdagangan pengangkutan ini. Beca kini didekorasi dengan corak bunga yang warnanya terang dan diubahsuai dengan lampu yang berkelip-kelip untuk menarik pelancong pada waktu siang dan juga malam.

Pelbagai corak dan dekorasi telah pun dibuat pada beca mereka. Ada juga yang menggunakan gambar kartun-kartun popular seperti Upin dan Ipin. Radio atau pembesar suara (speaker) juga dipasang untuk memainkan lagu bagi menghiburkan pelanggan mereka.

Di negeri lain pula, hanya mempunyai dekorasi yang lebih sederhana dengan hanya meletakkan bunga palsu di beca mereka.

Ada juga yang memberi kritikan bahawa beca di Melaka telah melalui perubahan yang sangat ketara sehingga ia telah hilang identitinya. Perubahan yang ketara kepada beca itu juga akan hilangkan daya tarikan pelancong kerana ia tiada keunikkan tradisional.

COVID-19

Kehadiran pandemik COVID-19 ini telah menyebabkan pelbagai sektor perniagaan terjejas namun, sektor pelancongan bukan sahaja terjejas bahkan, ia berhenti buat sementara waktu.

Oleh kerana perdagangan beca ini hanyalah untuk menarik perhatian pelancong dan bukan sebagai pengangkutan utama, kedatangan wabak COVID-19 ini akan menyusahkan penarik beca yang sumber utama mereka datang daripada pelancong.

Terutama pelancong luar yang akan menggunakan mata wang negara mereka untuk tambang dan juga memberi tip.

Namun setiap negeri yang mempunyai beca sebagai tarikan utama akan memberi elaun kepada penarik-penarik beca mereka.

Penarik beca di Melaka sudah merayu kepada pelancong tempatan untuk menggunakan khidmat mereka supaya mereka boleh kekal untuk menyara diri.

Sehingga pengubahsuaian beca mengikut prosedur operasi standard (SOP) telah dibuat dengan meletakkan pembersih tangan (hand sanitizer) dan juga bekas air bersih bersama sabun.

Adakah Ia Hampir Pupus?

Ramai yang menyangkakan bahawa beca ini akan hampir pupus setelah bertahun-tahun namun ia masih lagi berada di sini dan bilangannya juga dalam jumlah yang banyak.

Walaupun dengan kedatangan COVID-19, mereka telah menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri masing-masing yang membolehkan mereka untuk sara diri dan mencari kerja sementara sehingga wabak ini tamat dan sektor pelancongan kembali beroperasi.

Pendapatan mereka juga berkurangan dengan kedatangan COVID-19 ini tetapi ia tidak mematahkan semangat mereka.

Sekiranya, masih ada lagi anak muda yang ingin menjadikan penarik beca sebagai kerjaya utama mereka, tanggapan kepupusan kenderaan tiga roda ini tidaklah begitu benar.

Mungkin ia adalah persepsi rakyat tempatan kerana mereka sendiri tidak menaikinya atau tidak hiraukan kewujudan taxi traditional ini.

Walaupun menaiki beca bukanlah budaya rakyat Malaysia namun, tidak salah jika warga negara ini merasa menaiki beca untuk membantu penarik-penarik beca di samping merasakan ketenangan menaiki kenderaan yang perlahan dan tenang.

Harap rakyat Malaysia dapat merasai menaiki beca ini sebelum ia betul-betul pupus dan hanya dapat melihatnya di muzium sahaja.

Want More Story From Us?