Baling Oren di Hari Chap Goh Mei

Malaysia sinonim dengan kepelbagaian sambutan dan perayaan mengikut kaum masing-masing. Kaum Cina khususnya, punya banyak perayaan yang disambut. Salah satunya adalah Hari Chap Goh Mei, selain Tahun Baru Cina.

Istilah Chap Goh Mei berasal dari dialek Hokkien, yang bermaksud  malam ke-15 mengikut kalendar Cina, di mana Chap bermaksud 10, Goh ialah lima dan Mei ialah malam.

Walaupun sambutan ini dikenali sempena berahirnya perayaan Tahun Baru Cina, tetapi di negara lain seperti China, ada juga yang mengenali perayaan ini sebagai Yuan Xiao Jie, atau Pesta Tanglung.

Kerana burung jenjang
Burung jenjang dipercayai membwa erti keabadian dan umur Panjang
Sumber dari: Artisoo.com

Asal-usul hari Chap Goh Mei ini tidak diketahui titik mulanya kerana terdapat variasi mengikut hikayat-hikayat lama. Ringkasnya, apa yang dilakukan semasa hari berkenaan punya ceritanya yang tersendiri.

Contohnya, semasa sambutan Chap Goh Mei, akan terlihat tanglung yang bercahaya dan percikan bunga api serta mercun. Ini kerana mengikut legenda terkenal, yang mana ianya mengisarkan tentang Maharaja Jade yang berdukacita atas kematian burung jenjang peliharaanya yang dibunuh oleh orang kampung. Baginda merancang untuk memusnahkan kampung tersebut pada hari ke-15 dalam tahun Lunar.

Tetapi, anak perempuan kesayangan Maharaja begitu kasihan dengan penduduk kampung, telah turun ke kampung tersebut dan menghebahkan rancangan ayahandanya kepada penduduk. Bagi menghalang rancangan Maharaja Jade, para penduduk di kampung itu pun menggantung tanglung dan menyalakan mercun sebagai tanda kawasan mereka sudah terhapus, sekali gus mengagalkan rancangan Maharaja.

Pada hari yang dijanjikan, Maharaja dan tenteranya turun ke kampung tersebut dan melihat keadaan kampung yang penuh dengan percikan mercun dan api. Setelah berpuas hati dengan keadaan kampung itu, Maharaja pun meninggalkan kawasan kampung tersebut. Oleh kerana itulah, setiap hari ke-15 tahun Lunar akan dihiasi dengan percikan mercun dan bunga api serta tanglung sebagai memperingati peristiwa itu.

Kaitan Oren dan Chap Goh Mei
Si gadis akan membuang limau ke permukaan air dan lelaki akan mengutipnya.
Sumber dari: Mandarinjer.com

Jika orang Barat menggunakan Tinder sebagai cara untuk mecari jodoh, kaum Cina pula adalah menerusi acara membuang limau ke laut atau sungai. Upacara ini tidak asing bagi kaum Cina kerana Chap Goh Mei adalah Hari Kekasih (Valentine’s Day) versi Cina.

Mengikut kisah lama, wanita yang dibolehkan berkahwin tidak boleh keluar rumah kecuali pada hari berkenaan seperti yang diperintah oleh maharaja, di mana mereka perlu dan membawa tanglung untuk memperdaya Dewa Api. Seiring dengan masa yang berlalu, kebanyakan wanita akan mengambil peluang ini untuk memperhiaskan diri mereka dengan sehabis baik untuk mencari jodoh yang baik.

Acara membuang buah oren atau limau menjadi tradisi masyarakat kaum Cina kerana bagi mereka, ianya adalah cara untuk mencari jodoh yang baik. Sama seperti sebelum ini, kesahihan asal usul membuang oren di sungai atau laut masih tidak dapat dipastikan. Namun, acara ini menjadi tumpuan pada hari Chap Goh Mei.

Secara tradisinya, kaum perempuan akan membuang buah tersebut ke dalam sungai dan lelaki akan mengutipnya. Seiring dengan era pemodenan masa kini, sebelum membuang buah oren, mereka akan menulis maklumat diri mereka, seperti tinggalkan nama, alamat rumah dan nombor telefon.

Kaum lelaki pula akan mengutipnya sekiranya mereka dapat mengutip buah yang dibuang oleh kaum perempuan. Dipercayai, dengan melakukan acara itu, mereka akan dijodohkan dengan pasangan yang baik.

Anehnya, mungkin ramai yang menyangka acara ini berasal dari negara China itu sendiri, tapi sebenarnya tidak. Acara ini dimulakan oleh rakyat Malaysia sendiri, di Pulau Pinang pada abad ke-19!

Panduan & Nasihat
Hanya kaum wanita sahaja yang boleh buang buah oren ke dalam sungai
Sumber dari: Remaja.my

Sebenarnya, tiada pantang-larang yang khusus dalam acara membuang buah oren ini. Tetapi, ada satu peraturan yang sangat penting: hanya kaum perempuan sahaja yang buang buah tersebut dan bukan kaum lelaki. Jika terlihat ada kaum lelaki yang lakukannya, maka pada semua gadis-gadis Cina, berhati-hatilah.

Tidak lupa, bawa juga alat tulis seperti pen penanda (marker pen) untuk menulis maklumat diri di buah oren sebelum membuangnya ke sungai atau laut.

Tujuan perayaan adalah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan sosialisasi antara satu sama lain. Jadi, gunakanlah peluang yang ada untuk bersama dengan orang yang tersayang.

Want More Story From Us?