Ayam ‘bertinju’, penjaga menang duit

Ayam Sabung akan bertarung dalam sebuah perlawanan. Yang menang akan membawa untung kepada si penjaga.

Sabung ayam atau laga ayam ialah pertaruhan di mana dua ekor ayam sabung akan bertarung antara satu sama lain untuk menentukan seekor pemenang. Aktiviti sabung ayam ini sangat terkenal di Asia, lebih-lebih lagi di negara Thailand, Indonesia, Filipina, dan semestinya Malaysia.

Dua ekor ayam bersabung.
Imej dari: Wikiart

Ayam sabung yang digunakan untuk beraksi bukan ayam ternakan biasa yang berkeliaran di dalam reban. Ayam sabung ialah ayam gred tinggi yang mempunyai baka sesuai untuk berlaga. Kebiasaannya, ayam-ayam istimewa ini akan dijaga dengan baik supaya dapat beraksi dengan cemerlang.

Selain menjadikan aktiviti ini sebagai hobi, sabung ayam berkait rapat dengan perjudian. Banyak wang yang dipertaruhkan dalam satu perlawanan hingga mencecah ribuan ringgit. Namun, tiada perlawanan yang diiktiraf dan segala aktiviti ini merupakan aktiviti haram.

Sabung Ayam di Malaysia melibatkan pertaruhan dan perjudian

Di Malaysia, tempat yang terkenal dengan aktiviti sabung ayam semestinya di Kuala Langat, Selangor. Walaupun aktiviti ini agak ketinggalan zaman, ia masih giat berjalan sehingga hari ini kerana masih ramai yang membela ayam sabung.

Ayam yang bertarung dalam arena pula merupakan ayam import yang lebih padu dan ganas dari Thailand dan Indonesia. Perlawanan ini biasanya akan dilakukan secara tertutup dan hanya kenalan rapat akan menonton pertarungan dan terlibat dalam perjudian tersebut.

Jumlah wang kemenangan perjudian dalam acara sabung ayam ini sangat tinggi, jadi para penjaga akan cuba mendapatkan dan menjaga ayam yang handal. Penjaga ayam tersebut sanggup mengeluarkan wang yang banyak kerana mereka tahu pulangan jika menang dalam perjudian sangat lumayan.

Sabung Ayam moden dalam talian

Mengikut perkembangan teknologi, aktiviti sabung ayam juga beralih dalam talian. Banyak pertaruhan dilakukan di Internet, di mana mereka yang berminat boleh menonton pertarungan ayam sabung secara langsung di mana jua.

Contoh iklan sabung ayam dalam talian.
Imej dari: Sabung-ayamonline

Ini memudahkan semua pihak kerana tidak lagi perlu berkumpul beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan secara bertutup. Mereka yang ingin bertaruh juga tidak perlu membawa wang tunai yang banyak kerana transaksi boleh dilakukan dalam talian. Selain itu, orang ramai tidak perlu berpanas kerana berdiri di bawah matahari.

Namun, terdapat juga beberapa terma yang wujud dalam sabung ayam dalam talian untuk memudahkan mereka yang ingin melibatkan diri. Antara terma yang digunakan ialan ‘banker’, ‘player’ dan ‘draw’, kesemua perkataan ini mempunyai maksud tersendiri yang mereka perlu tahu.

Harga yang tidak masuk akal

Mereka yang mempunyai minat yang mendalam dalam sabung ayam ini memang sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk mendapatkan ayam yang terbaik. Ada seorang lelaki yang melaburkan lebih kurang RM100,000 untuk penternakan dan pembelian ayam.

Contoh seekor ayam laga.
Imej dari: Ayam Laga Selangor

Lelaki tersebut juga telah membeli seekor ayam berharga RM19,400 yang diimport dari seorang penjual di Thailand. Ayam ‘Pama’ itu memang seekor ayam yang diminati ramai dan antara ayam yang handal dalam dunia sabung ayam.

Penternak juga boleh mendapatkan hasil yang lumayan dalam penjualan ayam baka, anak ayam yang berkualiti mampu dijual pada harga RM1,000 jika mencapai keinginan pembeli.

Kesimpulannya, sabung ayam mungkin telah diharamkan di Malaysia, akan tetapi, tidak boleh dinafikan bahawa aktiviti ini sangat unik kerana ayam yang bertarung dan bukannya manusia. Selain itu, peluang untuk berniaga juga besar kerana ramai yang sanggup membeli ayam baka dengan harga yang tinggi, jadi mereka yang ingin melibatkan diri mungkin boleh meneruskan hasrat tetapi cuba untuk elakkan diri daripada gejala perjudian.

Want More Story From Us?