Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu antara dua perayaan yang disambut oleh umat Islam sedunia. Hari Raya Korban atau Aidiladha ini jatuh pada hari kesepuluh bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir dalam kalender Hijrah. Tarikh ini amat istimewa bagi umat Islam kerana dalam sejarah Islam, Nabi Adam dan isterinya, Hawa, telah turun ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, Mekah.
Hari Raya Aidiladha pula, di mana ibadah korban dilaksanakan pula adalah bagi umat Islam mengingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang hampir mengorbankan anaknya, iaitu Nabi Ismail atas ketaatannya terhadap perintah Allah S.W.T.
Nabi Ibrahim telah bermimpi berturut-turut selama tiga hari bahawa Allah telah memerintahkannya untuk menyembelih Nabi Ismail. Nabi Ibrahim pun memaklumkan mimpinya itu kepada Nabi Ismail dan bertanya apakah pendapat anaknya itu, lalu Nabi Ismail pun menjawab pada ayahnya untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail berserah dan taat melakukan perintah Allah S.W.T. Apabila mereka tiba di destinasi, Nabi Ibrahim membaringkan dan menutup mata Nabi Ismail seperti yang dirancang anaknya.
Tanpa melengahkan masa, Nabi Ibrahim pun mengangkat pedang dan memancung leher anaknya.
Darah percik pada badan Nabi Ibrahim, tetapi yang disembelihnya itu adalah seekor kibas dan bukan anaknya. Dengan memberi syukur kepada kebesaran Allah S.W.T, bapa dan anak pun berpeluk sambil memuji kebesaran kepada Tuhan.
Dari peristiwa inilah, umat Islam sedunia menyembelih binatang-binatang korban dan mengagihkannya kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Di samping itu, umat Islam turut disunatkan untuk memakai pakaian yang paling cantik serta bersih dan mengenakan wangian. Solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya berbanding dengan solat sunat Aidilfitri. Hal ini untuk memberi lebih banyak masa bagi penyembelihan korban. Selepas solat, upacara korban akan dimulakan.
Lembu dan haiwan sepertinya akan disembelih di pekarangan kawasan masjid dan dibahagi-bahagikan kepada orang ramai, terutamanya orang miskin.
Semoga perayaan pada tahun ini membawa seribu makna kepada seluruh umat Islam.