Asal-usul Zodiak Cina (Chinese Zodiac) bermula dari satu kisah popular tentang 12 ekor haiwan. Cerita yang sama juga menjelaskan secara ringkas tentang kenapa kucing selalu mengejar tikus.
Ia bermula dengan Emperor of Heaven (Maharaja Syurga)
Tidak seperti horoskop Barat, Zodiak Cina terbentuk daripada 12 ekor haiwan berbeza yang memenuhi kitaran kalendar setiap 12 tahun.
Cerita Zodiak Cina dalam Kalendar Cina sangat sinonim dalam kalangan masyarakat kaum ini, dan setiap satunya mempunyai tafsiran yang berbeza bergantung kepada siapa yang disoal. Yang menariknya, salah satu daripada haiwan ini hanya wujud dalam kisah dongeng, dan kucing ada diceritakan dalam semua versi.
Satu daripadanya ialah jemputan ke syurga, sementara yang lain menceritakan tentang perlumbaan antara haiwan-hawain. Tetapi semuanya bermula dari kisah Jade Emperor (Maharaja Jed) yang juga dikenali sebagai pemerintah Syurga dan Bumi.
Jemputan untuk ke syurga
Dalam salah satu daripada versi cerita, selepas melindungi tanah Bumi bertahun-tahun lamanya, Maharaja Jed berhasrat mengenali makhluk-makhluk di Bumi dengan lebih dekat. Baginda belum pernah melihat wajah haiwan-hawan ini lalu menghantar jemputan kepada beberapa haiwan untuk pergi melawat syurga.
Si tikus dan si kucing pernah menjadi jiran yang hidup dalam harmoni. Tetapi apabila kedua-duanya menerima jemputan, si tikus mula risau akan rupanya dan takut kalau-kalau si kucing akan menandinginya.
Semakin hari tiba, si kucing mengingatkan si tikus supaya mengejutkannya untuk menyertai yang lain, tetapi si tikus memutuskan untuk pergi tanpa mengejutkan si kucing. Oleh sebab itulah si kucing menyimpan amarah terhadap si tikus, dan orang ramai percaya bahawa kisah inilah jawapan kepada kucing yang selalu mengejar tikus.
Si kucing sekali lagi dikhianati dalam perlumbaan
Dalam versi yang berbeza pula, haiwan-hawan ini berlumba dalam satu pertandingan yang diatur Maharaja Jed yang ingin membahagikan tahun-tahun yang ada dengan setiap haiwan yang berbeza. Jalan yang perlu dilalui adalah panjang dan haiwan-haiwan ini perlu merentasi tanah dan juga air.
Si tikus dan si kucing yang bersahabat baik mendahului perlumbaan dengan menumpang si lembu yang baik hati. Halangan terakhir ialah sebatang sungai, dan si lembu mampu merentasinya dengan mudah. Tetapi ketika melintas, si tikus menolak si kucing jatuh ke sungai, sekali gus memaksa si kucing keluar daripada perlumbaan.
Selepas si kucing terkeluar daripada perlumbaan, si tikus melompat ke depan si lembu dan memenangi perlumbaan itu di tempat pertama. Sementara si lembu di tempat kedua.
Si harimau tiba tidak lama kemudian tanpa diganggu haiwan-haiwan yang lain, sementara si arnab mengikut dari belakang di atas sebatang kayu pokok.
Si naga menolong, si ular menakutkan
Si naga, yang sepatutnya mampu menjuarai perlumbaan dengan mudah, terkebelakang kerana membantu sekumpulan orang kampung memadamkan api. Selain itu, si naga nampak si arnab yang menghadapi kesukaran untuk melintasi sungai. Lalu, si naga meniup angin, sekali gus membantu si arnab sampai di garisan penamat sebelum dirinya.
Ada yang percaya bahawa sehingga ke hari ini, si arnab tidak tahu-menahu tentang pengorbanan si naga ketika perlumbaan itu. Tetapi si naga tetap berpuas hati dapat menghabiskan perlumbaan di belakang si arnab.
Sementara itu, si kuda adalah yang seterusnya untuk sampai di garisan penamat. Tetapi malangnya, si kuda ternampak si ular menumpang di kakinya. Sebelum tiba di garisan penamat, si ular menakut-nakutkan si kuda, sekaligus ia dapat menghabiskan perlumbaan itu sebelum si kuda. Si kuda tersadung ke belakang, tetapi tetap juga menghabiskan perlumbaan.
Antara kerjasama dan gangguan
Si kambing, si monyet, dan si ayam menyusul di belakang, dan mereka adalah karakter contoh yang bekerjasama untuk menghabiskan perlumbaan. Walaupun ketiga-tiganya bukanlah haiwan yang paling tangkas dan kuat, mereka berpakat untuk saling membantu merentasi sungai menggunakan batang pokok yang tumbang.
Si anjing tiba seterusnya. Walaupun si anjing boleh bergerak dengan laju, ia terganggu dengan air sungai dan berhenti bermain-main dengan seronok sehingga terlupa tentang perlumbaan yang masih berlangsung.
Si khinzir adalah yang terakhir tiba di garisan penamat. Semasa berlumba, ia tiba-tiba lapar dan pergi mencari makanan. Selepas makan, si khinzir mula mengantuk dan tidur sebentar. Sebab itulah ia yang terakhir menghabiskan perlumbaan.
Mengaitkan zodiak dengan usia dan personaliti
Kalendar Cina membantu masyarakat Cina untuk mengingati usia mereka. Tetapi seperti horoskop, ada juga yang percaya bahawa zodiak mewakili sifat keperibadian seseorang.
Sesetengah orang menggunakannya untuk merancang keluarga, termasuklah merancang jantina anak yang bakal dilahirkan. Sementara mereka yang lain menggunakannya untuk memilih pasangan hidup. Selebihnya ialah untuk merancang perkahwinan, membeli rumah, memulakan perniagaan serta bermacam-macam lagi tujuan lain.
Sama ada seseorang itu percaya atau tidak, ia boleh membuka suatu lagi topik perbincangan yang berbeza.