Kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang meragut banyak nyawa baru-baru ini menjadikan rakyat Malaysia memilih untuk lebih berhati-hati dan sentiasa cakna dengan keadaan iklim semasa.
Kejadian tanah runtuh di Batang Kali itu bukanlah tragedi pertama yang berlaku di negara. Malah, terdapat beberapa kejadian tanah runtuh di negara yang telah terpampang di dada akhbar ataupun tular di media sosial.
Baling Kedah
Antara kejadian tanah runtuh yang menerima perhatian adalah di Baling, Kedah. Pada tahun 2021, Malaysia dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Jalan Kampung Lahar Bongor-Teluk Durian yang merisaukan warga Baling khususnya, yang menggunakan laluan itu.
Kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh hujan yang berterusan selama seminggu yang mengakibatkan mendapan pada tanah sehingga kawasan lereng bukit menjadi tidak stabil lalu runtuhan pun berlaku.
Walaubagaimanapun, tiada kemalangan meragut jiwa dan kecederaan yang berlaku akibat tanah runtuh tersebut. Jabatan Kerja Raya (JKR) Baling telah menutup laluan ini dan menasihatkan orang ramai supaya menggunakan jalan alternatif lain yang lebih selamat.
Bukit Antarabangsa, Selangor
Biarpun ianya sudah lebih 10 tahun berlalu, namun tanah runtuh yang berlaku berhampiran dengan tragedi Highland Towers masih segar dalam ingatan mangsa-mangsa terlibat.
Menurut pasukan bomba dan penyelamat, kejadian yang berlaku di Ulu Klang, Selangor ini adalah disebabkan oleh pergerakan air bawah tanah yang mengakibatkan berlakunya tanah runtuh.
Kejadian itu telah menyebabkan kematian empat orang mangsa dan 15 lagi cedera, manakala 14 buah rumah banglo musnah dalam tragedi tersebut di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama. Kejadian tanah runtuh itu juga berlaku kira-kira jam 3.50 pagi waktu Malaysia.
Kundasang, Sabah
Tragedi yang berlaku di Laluan Kinasaraban-Bundu Tuhan yang berlaku pada September 2022 disenaraikan antara tempat yang berisiko mengalami bencana tanah runtuh sekiranya berlaku semula di masa akan datang.
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) baru-baru ini telah mengeluarkan senarai tempat yang berisiko mengalami perubahan cuaca yang kritikal sehingga mengakibatkan tanah runtuh, dan salah satunya adalah di Kundasang.
Kejadian sebelum ini telah berlaku pada waktu petang dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna jalan tersebut. Namun, tiada kematian dan kecederaan yang dilaporkan akibat tanah runtuh yang berlaku itu.
Bau, Sarawak
Tidak seperti di Baling dan Kundasang, bencana tanah runtuh yang berlaku di Jalan Kuching-Bau telah meragut nyawa seorang lelaki Cina warga emas.
Mangsa yang bernama Chai Kian Fah disahkan meninggal dunia disebabkan cedera akibat terjunam ke dalam runtuhan tersebut semasa memandu. Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menyatakan misi menyelamatkan mangsa korban menjadi sukar akibat ketidakstabilan struktur tanah dan runtuhan masih berlaku menyebabkan mereka terpaksa melakukannya dalam keadaan berhati-hati.
Mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke rumah mayat di Hospital Umum Sarawak.
Kesimpulannya, sentiasalah berhati-hati dan jika cuaca dan keadaan jalan berada dalam keadaan yang tidak selamat, berhentilah sementara waktu sehingga keaddan menjadi sedia kala sebelum nyawa menjadi taruhan.