Pada mulanya, Unduk Ngadau merupakan salah satu cara untuk memperingati pengorbanan Huminodun. Pertandingan ini secara rasminya bermula pada sekitar tahun 1960-an di Penampang.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Unduk Ngadau mungkin hanya satu lagi pertandingan ratu cantik tetapi Unduk Ngadau yang diadakan pada Mei setiap tahun sempena perayaan Tadau Kaamatan sebenarnya adalah tradisi rakyat Sabah yang diadakan bagi mengenang cerita legenda pengorbanan Huminodun.
Pertandingan Ratu Cantik
Pertandingan kecantikan ini adalah sinonim dengan Sabah, kerana ia merupakan pertandingan kecantikan paling terkenal di negeri ini, yang menonjolkan wanita cantik dan cerdas dari semua daerah di Sabah.
Unduk Ngadau adalah pertandingan kecantikan yang diadakan setiap tahun semasa perayaan Kaamatan di Sabah dan diadakan secara berperingkat – dari peringkat daerah hingga ke peringkat negeri. Pertandingan ini sangat dinanti-nantikan, ia dijadikan salah satu acara utama dalam perayaan Kaamatan.
Selama beberapa tahun, ia selalu terkenal sebagai pertandingan kecantikan wanita yang memakai pakaian tradisional daerah masing-masing di mana ratusan wanita bersaing untuk mewakili daerah atau zon mereka di peringkat negeri.
Lagenda Huminodun
Mitos Unduk Ngadau ini berkisar tuhan masyarakat Kadazandusun, Kinorohingan dan isterinya, Suminundu, yang terpaksa mengorbankan anak perempuan mereka Huminodun. Mereka terpaksa berbuat demikian kerana percaya masalah bencana alam yang melanda kampung mereka akan berakhir selepas upacara pengorbanan gadis jelita.
Setelah gadis itu dikorbankan, cuaca menjadi gelap dan akhirnya turunlah hujan lebat. Untuk mengingatkan peristiwa ini, mereka merayakan upacara kesyukuran kepada semangat Huminodun serta semangat padi (bambarayon).
Unduk Ngadau merujuk kepada semangat Huminodun – Unduk Ngadau berasal dari perkataan Runduk Tadau yang bermaksud ‘gadis dinobatkan sebagai sinar cahaya matahari’.
Gelaran berubah
Pada mulanya, Unduk Ngadau merupakan salah satu cara untuk memperingati pengorbanan Huminodun. Pertandingan ini secara rasminya bermula pada sekitar tahun 1960-an di Penampang.
Mengikut sejarah, nama gelaran pemenang telah berubah mengikut zaman. Contohnya, dari tahun 1960 – 1970, gelaran pemenang pertandingan ini adalah Miss Kadazan. Kemudian, Miss Harvest Festival dari 1970 – 1980. Gelaran Ratu Kaamatan digunakan dari tahun 1981 – 1990 dan Unduk Ngadau telah digunakan sejak tahun 1991 sehingga hari ini.
Jelas bahawa Unduk Ngadau bertujuan untuk memuji watak Huminodun yang bersedia sepenuhnya menyerahkan diri untuk menyelesaikan krisis masyarakat yang sangat serius.
Bukan kecantikan sahaja
Seperti pertandingan kecantikan lain, kecantikan, penampilan dan tingkah laku juga memainkan peranan.
Namun, bagi pertandingan Unduk Ngadau antara kriteria penting untuk menjadi peserta adalah dapat bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Kriteria ini tidak akan menjanjikan kemenangan meskipun mahir bertutur dengan fasih tetapi ia dianggap sebagai extra merit. Ini sebenarnya antara salah satu inisiatif untuk memertabatkan bahasa ibunda seperti Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, dan lain-lain lagi.
Selain itu, para peserta juga haruslah memiliki kecerdasan intelek tetapi bukan merujuk kepada kelulusan akademik sahaja malah seseorang itu harus mengetahui sejarah Kadazan Murut Bersatu (KDM), budaya, pakaian tradisional, adat resam dan makanan tradisi.
Pendek kata, para peserta perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai budaya masing – masing dan aspek berkaitan dengan Unduk Ngadau. Perkara ini juga merupakan sebuah inisiatif untuk menggalakkan peserta memahami dan menghayati kebudayaan dengan lebih mendalam serta menguji kebolehan dalam menyampaikan maklumat dengan berkesan, tepat dan berkeyakinan.
Secara ringkasnya, untuk menjadi pemegang gelaran Unduk Ngadau, wanita itu harus merangkumi semua aspek semangat Huminodun – untuk tidak mementingkan diri sendiri dan bersedia melayani komunitinya serta menjadi inspirasi kepada semua wanita dari segi kepintaran dan kemuliaan.