Tarian tradisional masyarakat Melayu yang satu ini masih lagi dikenali meluas dalam kalangan penggemar seni tari di Nusantara.
Tarian Zapin yang mempunyai sifat unik tradisionalnya yang tersendiri ini lebih dikenali di Johor apabila tarian ini turut dianggap sebagai warisan seni bagi negeri selatan tanah air tersebut.
Asal Tarian
Meskipun cukup dikenali buat masyarakat Melayu namun, asal usul tarian ini dikhabarkan datang daripada Timur Tengah dan diilhamkan oleh masyarakat peranakan Arab.
Mengikut sejarah, tarian ini pada asalnnya hanyalah sebuah tarian hiburan di istana setelah dibawa dari Hadramaut, Yaman oleh pedagang Arab pada awal abad ke-16.
Ketika itu, Johor telah menggantikan peranan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan antarabangsa dan penghijrahan besar-besaran orang Yaman ke Johor pada abad ke-19 telah menyebabkan negeri tersebut mempunyai pengaruh budaya Arab yang kuat.
Tarian Zapin yang telah diperkenalkan di Johor itu kemudiannya merebak di negeri-negeri sekitarnya seperti Singapura dan Brunei, menyebabkan tarian itu menjadi popular dan seterusnya diangkat sebagai salah satu warisan buat Johor.
Asas Tarian
Tarian zapin secara tradisinya ditarikan oleh kaum lelaki sahaja namun, setelah berkembang dengan meluas, tarian ini mula ditarikan secara berpasangan antara penari lelaki dan wanita dengan gerak tari yang melambangkan sifat-sifat diri golongan tersebut.
Tarian ini juga mempunyai struktur utama persembahannya sendiri yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu taksim, ragam dan kopak, dan wainab.
Muzik tradisional seperti Lancang Kuning, Naan Sidi, Ya Salam dan banyak lagi akan mengiringi tarian ini supaya ianya lebih seronok. Sudah tentu tarian tradisional memerlukan para penari untuk turut memakai pakaian tradisional iaitu berbaju Melayu dan berbaju kurung atau sarung kebaya ketika mempersembahkan tarian zapin.
Mewujudkan Rasa Persaudaraan
Tarian Zapin ini bukan sahaja untuk menghiburkan bagi mereka yang menonton malah, ia juga mampu mampu mewujudkan rasa persaudaraan antara penari dan pemuzik ketika persembahan berlangsung. Sifat espirit de corps ( semangat pasukan) sesama penari dan pemuzik secara tidak langsung dapat memadamkan rasa malu para penari apabila menari di khalayak ramai.
Secara simbolik, gerak tarian ini mempamerkan kepentingan usaha bersama penari dan bukannya usaha individu di samping membuang persaingan antara pemain dalam kumpulan. Di sebabkan itu, tarian ini mampu mewujudkan rasa persaudaraan yang amat tinggi dalam kalangan penari serta pemuzik yang terlibat.
Jenis Tarian
Tarian Zapin juga mempunyai pecahan tariannya yang tersendiri dan tarian itu mempunyai lima pecahan iaitu Tarian Zapin Arab, Tarian Zapin Johor, Tarian Zapin Lenga, Tarian Zapin Pekan dan Tarian Zapin Tenglu.
Setiap pecahan itu berlaku berdasarkan tempat tarian tersebut diperkenalkan namun asas tariannya adalah sama dengan Tarian Zapin Johor.
Populariti tarian Zapin ini sepertinya masih lagi tidak pudar apabila sehingga kini, tarian tersebut masih lagi dipersembahkan. Diharapkan tarian tradisional masyarakat Melayu yang satu ini akan terus kekal ditarikan di khalayak ramai.