Sindiket kartel daging haram membawa keraguan

Pembongkaran mengenai sindiket kartel daging haram telah membawa kejutan kepada negara apabila didedahkan bahawa status halal beberapa jenama daging yang telah berada di pasaran dikatakan tidak sah.

Pendedahan sindiket tersebut telah membawa keraguan kepada orang ramai, terutama mereka yang beragama Islam berikutan tindakan beberapa pihak yang sanggup memanipulasi status daging-daging itu.

40 Tahun Makan Daging Haram?

Menambah kekecohan orang ramai apabila beberapa laporan akhbar mendedahkan bahawa sindiket kartel daging haram ini telah beroperasi selama 40 tahun di negara.

Menurut laporan itu, daging haram tersebut telah berjaya memasuki pasaran negara disebabkan rasuah yang diterima oleh empat pegawai kanan daripada agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga status daging tersebut.

Antara rasuah yang ditawarkan adalah wang berjumlah sekitar RM150 hingga RM3,000 bagi mengaburi mata pihak yang bertugas untuk memastikan proses tersebut berjalan dengan ‘lancar.

Daging kanggaru, daging kuda

Sindiket daging kartel ini mendapat permintaan yang tinggi oleh kerana harga yang ditawarkan oleh ‘pembekal-pembekal’ daging haram ini murah. Oleh kerana harga yang murah itu, kebanyakan isi-isi daging itu telah dicampur dengan pelbagai isi yang diragui status halal dan kebersihannya.

Dikatakan sindiket ini telah menawarkan daging lembu yang sakit dan juga telah mencampurkan daging kanggaru serta kuda untuk memastikan harga daging-daging itu kekal murah.

Malah, ada juga laporan yang mengatakan kartel ini turut mengimport daging babi dan daging lembu serentak serta menyimpan daging-daging itu di tempat simpanan yang sama.

imej dari: soZCyili
Dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina

Sindiket kartel daging ini telah berjaya dibongkarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), yang mengatakan seludupan adalah dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Gudang penyimpanan daging-daging tersebut terletak di Sedai, Johor dan stok-stok daging sejuk beku itu dikatakan diseludup menerusi Pelabuhan Pasir Gudang serta Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kartel daging ini juga berjaya menawarkan sebanyak 300-400 kontena sebulan di mana satu kontena mampu membawa 25 tan daging sejuk beku bagi memenuhi ‘permintaan’ pelanggan yang tertipu dengan daging yang disangka ‘halal’ oleh mereka.

Tindakan KPDNHEP, SPRM

Walaubaagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menafikan sekeras-kerasnya mengenai kegiatan kartel daging halal palsu yang telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu. Namun, mereka akan tetap mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat.

KPDNHEP juga telah membuat sebanyak 29 pemeriksaan di premis borong serta 130 peruncit dan mereka telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kastam dan juga peniaga-peniaga itu sendiri untuk menjalankan pemeriksaan.

Kes ini lebih tertumpu kepada salah guna cap dagangan atau logo perniagaan di mana KPDNHEP akan menumpukan untuk melakukan siasatan di sudut berkenaan.

Selain KPDNHEP, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import yang didakwa dikuasai kartel yang telah menipu ramai pengguna.

Difahamkan kertas siasat tersebut dibuka SPRM Johor mengikut Seksyen 16 serta Seksyen 18 Akta SPRM 2009. SPRM juga akan menjalankan siasatan mengenai amalan rasuah dalam agensi yang bertanggungawab.

Sindiket penyeludupan daging haram ini bukan perkara kecil bahkan, ia amat merisaukan terutama bagi pengguna yang beragama Islam kerana status halalnya menjadi persoalan. Diharapkan kes ini dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak berkuasa.

Want More Story From Us?