Sudirman- Penghibur Terbaik Asia

Industri muzik tanah air pernah suatu ketika dahulu, melahirkan ramai penghibur yang boleh dikatakan lagenda.

Sehingga kini, penghibur-penghibur yang bergelar lagenda itu telah menjadi rujukan artis masa kini. Kejayaan yang dikecapi oleh lagenda-lagenda itu telah menjadi penanda aras untuk seorang anak seni itu berjaya.

Sudirman Arshad bukanlah satu nama yang asing dalam industri muzik dan hiburan tanah air bahkan, beliau merupakan seorang penghibur terbaik yang pernah negara miliki.

Segalanya Bermula

Dato’ Sudirman Haji Arshad adalah anak kelahiran dari Temerloh, Pahang dan merupakan graduan Ijazah Undang-Undang (LL. B) kelas ketiga dari Universiti Malaya.

Ketebalan jiwa seni dalam dirinya membuatkan beliau tinggalkan dunia guaman untuk menyertai pertandingan Bintang RTM 1976, yang mana beliau berjaya menjadi Johan pertandingan tersebut.

Kemenangan tersebut merupakan titik tolak dalam kerjaya seni Sudirman sebagai penghibur negara.

Kejayaan Demi Kejayaan

Selama 16 tahun kariernya, beliau berjaya merakamkan 15 allbum studio dan 52 album kompilasi serta menghasilkan puluhan lagu ‘hits’ daripada kesemua album-album yang dihasilkannya.

Antara konsert yang paling diingati oleh peminat-peminatnya ialah konsert di jalan Chow Kit yang mana konsert tersebut diadakan secara percuma. Puluhan ribu rakyat Malaysia menghadiri konsert tersebut pada 15 April 1986.

Sudirman juga telah diiktiraf sebagai “Penghibur Nombor 1 Asia” apabila beliau berjaya memenangi Asia Popular Music Awards pada 19 Mac 1989 di Royal Albert Hall, London. Beliau turut mengondol anugerah ‘Best Perfomer’ di anugerah tersebut.

Susulan kejayaan itu, beliau telah diminta untuk membuat persembahan bagi temasya Sukan SEA 1989 dan persembahan itu ditonton oleh Tun Dr.Mahathir Mohamed yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Selain kejayaan di bidang nyanyian, beliau pernah membintangi sebuah filem dan berjaya tercalon untuk satu kategori bagi filem tersebut.

Beliau juga pernah menjadi kolumnis untuk majalah hiburan URTV di ruangan ‘Teringat-ingat’ selama 10 tahun malah, menjadi ‘residen writer’ untuk Kumpulan Media Karangkraf.

Tambahan pula, beliau pernah mengeluarkan jenama minuman bikarbonatnya sendiri yang bernama ‘Sudi’ sehingga beliau berjaya menerima Anugerah Pengusaha Muda susulan kejayaan perniagaannya itu.

Bukan itu sahaja, beliau turut melancarkan produk makanan iaitu ‘Sudi Rasa’ serta membina syarikat rakamannya sendiri iaitu ‘Sudirman Prodcutions’.

Walaubagaimanapun, perjalanan kariernya terhenti apabila beliau telah jatuh sakit dan SUDI Sdn. Bhd  ditutup pada September 1991.

Selamat Jalan Lagenda

Pada 17 Julai 1991, Sudirman telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakal, Kuala Lumpur selama empat hari berikutan laporan yang mengatakan beliau pengsan.

Selama tujuh bulan, beliau terlantar sakit dan ditemani keluarga serta rakan rapatnya yang merahsiakan punca penyakit dan lokasi beliau dirawat.

Februari 1992 merupakan waktu yang menyedihkan buat negara apabila penghibur terbaik negara telah pulang ke Rahmatullah di rumah kakaknya di Bangsar Park, Kuala Lumpur.

Punca kematian beliau akhirnya didedahkan oleh keluarganya bahawa selama tujuh bulan, Sudirman menghidapi penyakit Pneumonia atau radang paru-paru.

Jasad beliau dikebumikan di Temerlong, Pahang, bersebelahan pusara kedua ibu bapanya.

Meskipun dunia telah kehilangan seorang lagenda dan penghibur terbaik negara serta rantau Asia namun, setiap kejayaan yang dimiliki olehnya akan tetap diingati.

Diharapkan generasi masa kini, dapat mencontohi usaha keras beliau untuk mencapai kejayaan yang diingini.

Want More Story From Us?