Merah, biru, putih dan kuning adalah warnanya. Mempunyai 14 jalur melintang merah putih dan bulan sabit serta bintang 14 bucu berwarna kuning, melambangkan perpaduan 13 negeri dan kerajaan Persekutuan – itu adalah Jalur Gemilang yang dibanggai rakyat.
Sudah semestinya ada kisah disebalik perekaan bendera lambang negara ini dan juga sebab mengapa bendera Jalur Gemilang milik Malaysia ini mempunyai persamaan dengan bendera ‘Stars and Stripes’ milik Amerika Syarikat.
Direka oleh arkitek Johor
Pada tahun 1948, selepas pemansuhan Malayan Union dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, satu pertandingan merekacipta bendera telah diadakan.
Seramai 373 orang telah menyertai pertandingan tersebut yang pada akhirnya, hanya tiga reka bentuk bendera sahaja yang terpilih dan layak ke peringkat akhir.
Antara reka bentuk bendera yang berjaya ke peringkat akhir adalah hasil rekaan Mohamed Hamzah, seorang arkitek yang berkhidmat di bawah Jabatan Kerja Raya Negeri Johor.
Idea reka bentuk bendera Mohamed pada ketika itu adalah gabungan unsur bendera Johor dan juga umbul-umbul merah putih yang berasal dari Pataka Gula Kepala iaitu lambang kerajaan Majapahit di Jawa.
Oleh kerana sejarah Majapahit yang terkenal sebagai kerajaan maritim yang hebat, lambang tersebut dipakai secara meluas di Nusantara oleh pelaut dan masih digunakan oleh tentera laut Indonesia (Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut).
Undian terbuka
Satu undian terbuka telah dibuat melalui akhbar Malay Mail ketika itu untuk memilih satu antara tiga reka bentuk yang telah berjaya ke peringkat akhir.
Melalui hasil undian tersebut, didapati sebanyak 42% memilih reka bentuk ketiga iaitu hasil rekaan Mohamed Hamzah, 27% memilih reka bentuk ketiga dengan cadangan untuk menukarkan bintang dan bulan sabit kepada keris manakala 25% inginkan reka bentuk Union Jack dimasukkan dalam bendera Persekutuan Tanah Melayu yang mana majoriti golongan tersebut adalah generasi muda pasca kemerdekaan.
Walaupun reka bentuk ketiga mendapat beberapa cadangan tambahan tetapi rekaan Mohamed inilah yang mendapat persetujuan majoriti rakyat dan akhirnya dipilih.
Reka bentuk diubah
Namun, pada 22 dan 23 Februari 1950, beberapa pindaan telah dibuat oleh pihak Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada reka bentuk bendera tersebut yang akhirnya, pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah bersetuju untuk menukarkan jalur biru kepada merah, Kanton merah kepada Kanton biru dan bintang berbucu lima digantikan dengan bintang berbucu sebelas, sebagai tanda jumlah negeri yang terdapat dalam Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu.
Pada 26 Mei 1950, untuk kali pertamanya, bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan setelah rekaan bentuk tersebut mendapat kelulusan daripada King George VI di perkarangan Istana Sultan Selangor yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British.
Peristiwa bersejarah itu turut dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta para pegawai King George VI.
Daripada 11 bucu ke 14 bucu
Kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura ke Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963 telah melahirkan sebuah negara baru yang diberi nama Malaysia.
Berikutan dengan peristiwa tersebut, bendera Persekutuan Tanah Melayu lagi sekali melalui proses pengubahsuaian dengan menambahkan tiga lagi jalur dan tiga bucu pada bintang, menjadikan bendera Malaysia mempunyai 14 jalur merah putih dan 14 bucu bintang.
Hal ini adalah sebagai tanda untuk menunjukkan bahawa terdapat 14 buah negeri dalam Malaysia.
Meskipun Singapura telah keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, jalur dan bucu pada bendera Malaysia tetap sama sehingga kini kerana Malaysia mempunyai 13 buah negeri dan satu Kerajaan Persekutuan.
Persamaan dengan bendera Amerika Syarikat
Seperti yang telah dinyatakan awal tadi, rekaan bentuk bendera pertama Persekutuan Tanah Melayu adalah diinspirasikan daripada bendera Johor dan bendera kerajaan Majapahit.
Bendera Amerika Syarikat juga sebenarnya berasal daripada umbul-umbul Majapahit. Hal ini terjadi apabila Syarikat Hindia Timur Inggeris (East India Companya/EIC) berdagang di Nusantara sejak abad ke-17 dan melihat bendera Majapahit yang kelihatan gah, membuatkan EIC juga ingin menjadikan ia bendera syarikat.
Jadi, bendera EIC pun menjadi terkenal dalam kalangan penduduk Amerika Syarikat yang pada ketika itu merupakan jajahan British. EIC juga yang membekalkan barang-barang kepada penduduk Amerika Syarikat.
Namun, pada tahun 1773, kapal EIC yang membawa teh dari China diserang oleh pejuang kemerdekaan Amerika Syarkat yang tidak berpuas hati dengan pemerintah British. Perisitiwa ini dikenali sebagai Boston Tea Party.
Pejuang kemerdekaan Amerika Syarikat itu menggelarkan diri mereka sebagai Sons of Liberity yang kemudiannya memakai bendera EIC sebagai panji mereka. Lambang bendera Britain dibuang sebagai tanda pemberontakan dan tidak mengiktiraf Britain lagi.
Lalu, panji tersebut dikenali sebagai Rebellious Stripes atau Liberty Flag. Pada awalnya hanya ada sembilan jalur sebagai tanda sembilan negeri jajahan Britain bangkit melawan yang kemudiannya dikembangkan menjadi 13 jalur.
Kadang-kala akan ada ular ditengah kerana berdasarkan apa yang dikatakan oleh pejuang kemerdekaan Amerika Syarikat, mereka akan lawan Britain seperti ular yang dipijak(tread), akan serang kembali.
Jadi selepas Amerika Syarikat mencapai kemerdekaan, bendera Stripes ditambah dengan reka bentuk bintang di penjuru kiri atas yang kemudiannya jadilah Stars and Stripes yang dipakai sehingga sekarang.
Di sini dapat dirumuskan bahawa bendera Jalur Gemilang tidaklah meniru bendera Stars and Stripes milik Amerika Syarikat. Walhal, kedua-dua negara ini sepertinya menggunakan bendera Majapahit sebagai salah satu asas reka bentuk bendera negara.
Maka, diharapkan rakyat Malaysia dapatlah menghargai bendera Jalur Gemilang negera yang amat bermakna ini, bukan sahaja pada bulan kemerdekaan tetapi sehingga akhir hayat.