Tahun ini pada 20 Ogos di Malaysia menandakan bahawa umat Islam akan memasuki tahun hijrah yang baharu iaitu tahun ke 1442 hijrah. Permulaan tahun hijrah yang baharu bermakna umat Islam akan memasuki bulan Muharram iaitu bulan pertama dalam kalendar Islam.
Namun bulan Muharram bukan sahaja bulan pertama dalam tahun hijrah tetapi mempunyai pelbagai peristiwa yang membuatkan bulan tersebut antara yang bermakna bagi para Muslim.
Bulan haram peperangan
Pada awalnya, pengiraan tahun adalah berdasarkan tahun masihi sebelum berlakunya peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah. Peristiwa Hijrah merupakan peristiwa penting kepada perjalanan dakwah baginda.
Secara asasnya, Muharram bermaksud ‘diharamkan atau dilarang’ kerana Allah S.W.T melarang melakukan sebarang peperangan atau pertumpahan darah pada bulan tersebut namun, digugurkan setelah pembukaan Kota Mekah.
Peristiwa dalam 10 Muharram, Nabi Musa diselamatkan
Seperti yang telah dinyatakan, bulan Muharram menyimpan pelbagai peristiwa bermakna dalam Islam, terutama pada 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Asyura.
Antara peristiwa pada tarikh tersebut adalah apabila Nabi Musa A.S telah diselamatkan daripada dikejar Firaun. Peristiwa ini juga tertulis di dalam kitab Injil. Disebabkan oleh itu, mereka yang beragama Kristian juga melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai tanda syukur Nabi Musa dan Bani Israil selamat daripada Firaun.
Allah menerima taubat Nabi Adam
Apabila Nabi Adam A.S turun ke bumi bersama Siti Hawa kerana melanggar larangan Allah untuk tidak memakan salah satu buah di dalam Syurga sebagai balasan, Nabi Adam A.S amat menyesali perbuatannya itu dan berdoa kepada Allah.
Doanya ada disebut di dalam Al-Quran, “Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan apabila Engkau tidak mengampuni kami, tentunya kami termasuk dari orang-orang yang rugi.”
Lalu, Allah menerima taubat Nabi Adam A.S pada 10 Muharram.
Allah selamatkan Nabi Yunus
Nabi Yunus A.S juga mendapat balasan daripada Allah dengan cara ikan Nun menelan baginda. Selama 40 hari, Nabi Yunus terperangkan dalam perut ikan tersebut.
Ketika Nabi Yunus berada dalam perut ikan itu, baginda berdoa taubat kepada Allah dan doanya tercatit di dalam Al-Quran, “Tiada Tuhan melainkan Engkau ( Ya Allah )! Maha Suci Engkau ( daripada teraniaya,tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang zalim”.
Nabi Yunus juga akhirnya dibebaskan dari kegelapan perut ikan Nun pada 10 Muharram.
Amalan Sunnah digalakkan
Oleh kerana bulan Muharram merupakan bulan penuh dengan peristiwa bermakna, maka digalakkan untuk melakukan amalan sunnah yang diantaranya adalah berpuasa.
Rasulullah S.A.W bersabda puasa yang paling afdhal selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Muharram (Muslim, Riyadhussalihin, Kitab Al Fadhail 117), maka digalakkan umat Islam untuk memperbanyakan puasa sunat pada bulan Muharram.
Malah, Abu Qatadah Radiallahu ‘Anhu mengatakan ketika Rasulullah S.A.W ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura, baginda menjawab puasa ‘Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.
Jadi, bagi tidak mensia-siakan fadilat bulan Muharram ini, diharapakan semua umat Islam dapat menghayati dan sama-sama beramal di bulan bermakna ini. Akhir kata, selamat menyambut Awal Muharram.