Lebuhraya penuh sejarah hitam

Laluan yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur ini mempunyai kisah yang menarik di sebalik sejarah pembinaannya. Lebuhraya sepanjang 215km ini dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bertujuan untuk memendekkan perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke bandar-bandar di barat laut Malaysia seperti Alor Setar, Kedah, dan Pulau Pinang.

Pembinaan Lebuhraya Timur-Barat mulanya dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1964.

Lebuhraya ini juga dikatakan ibarat serampang dua mata kerana ia bukan sahaja dibina untuk memendekkan perjalanan antara timur dan barat, malah, ia juga dibina di bawah Program Keselamatan Pembangunan (KESBAN) iaitu satu usaha khusus kerajaan membangunkan kawasan luar bandar dalam usaha memerangi kegiatan pengganas komunis.

Mengekang aktiviti komunis di Gerik

Pengganas komunis menggunakan hutan di sekitar kawasan lebuhraya tersebut untuk menjalankan aktiviti mereka sehingga kerajaan membuat keputusan untuk menghalang mereka daripada meneruskan kegiatan tersebut.

Ketika itu, kawasan hutan di sekitar Gerik dikategorikan sebagai kawasan hitam di mana komunis menggunakan kawasan tersebut sebagai kawasan utama bagi mereka menjalankan aktiviti komunis.

Ancaman utama terhadap pembinaan lebuhraya

Komunis di kawasan itu berasakan pembinaan lebuhraya tersebut menjadi penghalang kepada kegiatan komunis mereka dan mula memberi tentangan, mengganggu, dan mensabotaj dalam usaha menggagalkan projek pembinaan lebuhraya itu.

Mereka juga menyerang para pekerja serta merosakkan peralatan yang digunakan untuk pembinaan lebuhraya tersebut sehingga lebih daripada 60 buah jentolak dirosakkan.

Peristiwa pada 27 Ogos 1974 menjadi sejarah hitam dalam pembinaan lebuhraya ini kerana pihak komunis menyerang pekerja-pekerja pembinaan sehingga seramai tiga orang pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meninggal dunia dan puluhan yang cedera termasuk juga yang cedera parah.

Bagi menghalang pihak komunis daripada terus mengganggu projek pembinaan lebuh raya tersebut, dua buah kem tentera telah diwujudkan di dua tempat iaitu di Jeli dan Gerik bagi menempatkan pekerja Jabatan Kerja Raya dan juga unit tentera yang akan mengawal jalan ini ketika ia dibina bagi setiap kilometer.

Siap dibina namun masih dikawal

Pada Julai 1982, lebuhraya ini berjaya disiapkan, namun laluannya hanya boleh dilalui pada jam 7 pagi hingga 6 petang dan diiring tentera. Langkah itu terpaksa diambil bagi mengelak orang yang melalui jalan itu diserang oleh pihak komunis pada waktu malam.

Terdapat beberapa pos kawalan tentera yang mengawal laluan keluar masuk lebuh raya tersebut dan tiada siapa dibenarkan melintasi sekatan ini yang ditutup sepenuhnya selepas pukul enam petang.

Kawalan tentera dihentikan selepas termeterainya perjanjian damai yang ditandatangani di Hatyai di mana anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menyerah diri.

Laluan utama ke Pantai Timur

Kini, lebuhraya tersebut menjadi antara laluan utama menghubungkan barat dan timur di mana orang ramai boleh menikmati permandangan bukit-bukau yang cantik yang terdapat di sekelilingnya.

Sebuah tugu peringatan juga dibina di lebuhraya itu bagi memperingati kegigihan pekerja-pekerja pembinaan serta para pejuang negara yang melawan komunis sepanjang tempoh pembinaan lebuhraya bersejarah tersebut.

Want More Story From Us?