Perayaan Hari Gawai disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 Jun setiap tahun. Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum peribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan Barat.
Perayaan ini biasanya bermula di penghujung bulan Mei dan disambut selama sebulan sehingga hujung bulan Jun.
Hari Gawai mesra dengan panggilan Ari Gawai dalam bahasa Iban dan juga dipanggil sebagai Andu Gawai dalam bahasa Bidayuh. Perayaan ini disambut untuk masyarakat kaum Dayak memanjatkan kesyukuran atas segala keberkatan, nikmat, dan tuah yang dilimpahkan oleh Tuhan.
Sambutan Gawai sebagai permulaan baru
Gawai itu sendiri membawa maksud sebagai pesta. Oleh itu, Gawai Dayak bermaksud Pesta Dayak di mana satu permulaan baru bagi mereka bermula.
Masyarakat kaum Dayak melihat perayaan ini sebagai permulaan baru, tidak kira dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan, sama ada perancangan, pekerjaan, mahu pun perjalanan.
Minum tuak sebagai tanda keberanian dan kekuatan
Aktiviti utama kaum Dayak merupakan aktiviti penanaman padi sejak dahulu lagi. Selepas tamatnya musim menuai padi, kaum Dayak akan memiliki banyak beras, jadi sambutan ini juga disambut untuk mereka meraikan segala hasil usaha dan kerja keras mereka.
Persiapan untuk perayaan ini biasanya akan dilakukan sebelum tibanya penghujung musim menuai padi di mana proses penapaian “tuak” iaitu sejenis minuman tradisi komuniti Dayak mula dilakukan.
Penapaian tuak mengambil masa kira-kira sebulan dan tuak ini akan disimpan di dalam tempayan sebelum ditapis dan diminum pada akhir bulan Mei. Dalam masyarakat Iban, tuak dipanggil sebagai Ai Pengayu yang bermaksud Tuak untuk panjang umur.
Sebelum meminumnya, tradisi laungan ‘oooha’ akan dilaungkan dan ini menandakan perayaan Gawai sudah tiba. Meminum tuak melambangkan kekuatan tenaga dan keberanian hati tanpa berbelah-bahagi.
Upacara berkat dan syukur
Semasa perayaan Gawai Dayak, semua orang keluar di ruai atau di panggau. Para wanita akan duduk di ruai, sementara para lelaki akan duduk di panggau. Ruai juga tempat makanan dan minuman akan disajikan.
Masyarakat Iban biasanya akan melakukan upacara berkat dan syukur yang disebut miring di mana ianya dilakukan oleh Tuai Gawai yang mewakili penghuni rumah panjang berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
Pada pagi 1 Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuan rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke ‘tiang pengingat’ iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.
Perayaan Gawai Dayak seharusnya menjadi masa untuk perayaan, riang, kesenangan, dan kesenangan, tetapi pada masa yang sama mesti dilakukan mengikut semangat kebiasaan masyarakat, serta menghormati satu sama lain.
Kini, walaupun pemodenan di Sarawak semakin berkembang, perayaan Gawai Dayak ini masih dikekalkan sebagai tradisi oleh masyarakat di sana.