Memperingati Gautama, tokoh agung Buddha pada Hari Wesak.

Sambutan Hari Wesak yang diraikan pada 7 Mei setiap tahun merupakan sambutan yang amat istimewa bagi masyarakat yang menganut agama Buddha, di mana mereka meraikan kelahiran Gautama, iaitu pengasas kepada agama itu sendiri. 

Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut agama Buddha di seluruh dunia. Ia juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami.

Namun, sambutan ini kurang dipromosikan kerana ia dilihat jauh lebih sederhana berbanding dengan sambutan lain. 

Ada sesetengah pihak memberikan pandangan bahawa Hari Wesak ini disambut secara sederhana kerana ajaran Buddha itu sendiri yang mengamalkan prinsip supaya perkara seperti ini hanya sekadar duniawi dan mereka juga mementingkan keseimbangan.

Sambutan Hari Wesak.
Imej dari: Wikipedia
Sejarah permulaan tradisi Hari Wesak

Pemimpin komuniti Buddha berkumpul beramai-ramai di sebuah kuil yang diberi nama Holy Temple of the Tooth, yang terletak di Sri Lanka dan seramai 129 delegasi daripada 29 buah negara hadir ke persidangan itu untuk memilih tarikh menyambut Hari Wesak.

Semua wakil persidangan itu bersetuju dengan sebulat suara untuk menjadikan hari pertama bulan mengambang penuh pada setiap bulan Mei sebagai Hari Wesak bagi seluruh dunia.

Perayaan Hari Wesak ini juga diraikan untuk memperingati Siddharta Gautama Buddha yang lahir di Lumbini, Nepal, sekitar 563-483 Sebelum Masihi. Siddharta Gautama Buddha merupakan tokoh penting di dalam agama Buddha.

Menurut kepercayaan Buddha, mereka memperingati Siddharta Gautama Buddha sempena tiga perkara, iaitu Buddha dipercayai lahir pada purnama bulan Vesakha yang bermaksud nama bulan di dalam kalendar Hindu yang mengisyaratkan masuknya bulan kelima.

Beliau mendapat pencerahan agung dalam pertapaan dan beliau juga dikatakan meninggal dunia dalam bulan ini, seterusnya menjadikan bulan ini sebagai bulan yang istimewa kepada penganut agama ini.

Kemunculan Hari Wesak di Malaysia

Para penganut Buddha di Malaysia telah membuat satu rayuan kepada kerajaan untuk mengisytiharkan Hari Wesak sebagai cuti umum.

Kerajaan Malaysia dengan bermurah hati telah bersetuju untuk menjadikan Hari Wesak sebagai cuti umum selaras dengan prinsip negara yang mengamalkan konsep kebebasan beragama kepada seluruh rakyat di Malaysia.

Bagaimana Hari Wesak disambut

Pada Hari Wesak, penganut agama Buddha akan menziarahi biara dan kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan kepada Buddha. Mereka juga akan berarak beramai-ramai sambil membawa seni hias berupa patung Buddha dan simbol berkaitan dengan Buddha di jalan raya pada malam Wesak.

Selain daripada menziarahi biara dan kuil serta berarak, penganut Buddha akan melafazkan Triratna iaitu tiga ucapan perlindungan kepada Buddha, Dhamma, dan Sangha untuk memperbaharu azam mereka kepada ajaran Buddha.

Sebuah upacara yang disebut Mandi Sang Buddha juga akan diadakan, di mana air dituangkan di atas bahu Buddha untuk mengingatkan orang untuk membersihkan fikiran mereka dari pemikiran negatif seperti ketamakan dan kebencian.

Kesimpulannya, jelas dapat dilihat bahawa Hari Wesak dianggap sebagai salah satu sambutan yang penting kepada penganut agama Buddha, serta melambangkan kepercayaan penuh penganut-penganut ini kepada agama mereka.

Want More Story From Us?