Pemotongan genitalia wanita (female genital mutilation) sudah lama dipraktikkan di kebanyakan negara di benua Afrika dan Timur Tengah. Di Asia Tenggara pula, Malaysia dan negara jirannya Indonesia juga tidak terkecuali dalam mengamalkan tradisi yang kini dianggap sebagai melanggar hak asasi manusia.
Female genital mutilation (FGM) ialah tindakan memotong sedikit bahagian, sebahagian, atau keseluruhan alat kelamin wanita. Dalam konteks amalannya di Malaysia, ia dipanggil sebagai bersunat, berkhitan, atau berkhatan (female circumcision).
Walau bagaimanapun, terdapat perdebatan yang membezakan praktis khitan wanita di Malaysia dengan budaya yang diamalkan di negara-negara Afrika dan Timur Tengah.
Malaysia mengamalkan khitan wanita jenis satu
Ini kerana terdapat empat jenis khitan wanita:
Satu kajian yang dijalankan pada 2012 mendapati 93% wanita Malaysia melakukan khitan, dan hampir kesemua daripada mereka menjalani khitan jenis satu, iaitu melalukan pisau khas di sebahagian kecil klitoris (kelentit) atau melakukan sedikit tusukan menggunakan jarum. Praktis ini juga biasanya dilakukan oleh doktor berdaftar di klinik-klinik.
FGM yang dipraktikkan secara berleluasa di Afrika dan Timur Tengah diklasifikasikan antara jenis dua, tiga, dan empat ke atas kanak-kanak perempuan berusia antara pada awal kelahiran hingga 15 tahun.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), praktis ini boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan fizikal dan psikologi wanita. Antara kesan buruknya ialah pendarahan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil, yang seterusnya membawa kepada sista (cyst), jangkitan kuman, komplikasi ketika melahirkan, dan risiko kematian bayi baru lahir yang tinggi.
Manakala khitan wanita di Malaysia pula dilakukan kepada bayi yang baru lahir sehingga usia pra-sekolah atas sebab-sebab agama dan tradisi turun-temurun. Seperti yang ditegaskan oleh ahli-ahli agama negara, ia tidak mendatangkan kemudaratan.
Khitan wanita ‘wajib’ di sisi agama Islam mengikut Mazhab Syafi’i
Terdapat perdebatan tentang kesahihan hadis yang menyebut soal kewajipan dalam khitan wanita. Ada ulama yang mengatakan bahawa ia tidak dituntut dalam al-Quran, dan ada juga yang merujuk kepada sabda Rasulullah s.a.w.;
الْفِطْرَةُ خَمْسٌ -أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ- الْخِتَانُ، وَالاسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhitan (bersunat), mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Oleh itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa pada tahun 2009 bahawa khitan wanita diwajibkan di Malaysia. Walau bagaimanapun, ia masih bergantung kepada negeri-negeri di Malaysia untuk melaksanakannya kerana setiap satunya mempunyai kuasa untuk menjalankan fatwa agama mengikut kesesuaian yang menepati manfaat rakyatnya.
Misalnya, Jawatankuasa Fatwa di Majlis Agama Islam Perlis (MAIP) memutuskan bahawa khitan hanya perlu dilakukan mengikut keadaan alat kelamin bayi perempuan seperti yang disarankan oleh pegawai perubatan berdaftar.
Antara budaya dan tuntutan agama
Walaupun tiada bukti saintifik FGM memberi kesan yang baik kepada kesihatan wanita bahkan sebaliknya, ia tetap dilakukan kerana beberapa sebab. Antaranya kebersihan, kesucian, dan mengelakkan perbuatan tidak bermoral (promiscuity) apabila kanak-kanak perempuan menginjak dewasa.
Di Malaysia pula, satu kajian yang dijalankan pada 2011 mendapati 80.4% melakukan khitan kerana tuntutan agama, 41.3% memilih khitan kerana faktor kebersihan, manakala 31.9% lagi mengikut tradisi.
Terdapat juga pertembungan antara agama dan tradisi, di mana ibu-ibu memilih khitan untuk anak perempuan mereka kerana ia telah dilakukan secara turun-temurun dan mereka takut jika ingkar, ia dikira sebagai berdosa.
FGM melanggar hak asasi manusia?
Namun zaman sudah jauh berubah, dan yang dahulunya dianggap tradisi kini dipercayai sebenarnya telah lama melanggar hak asasi manusia.
Menurut WHO lagi, lebih 200 juta wanita di 30 negara Afrika, Timur Tengah, dan Asia telah dikhatan atau dipotong genitalianya. Ini sekali gus mendesak pengharaman FGM di seluruh negara kerana ia mendatangkan bahaya kepada wanita, mencerminkan keganasan ke atas wanita, serta melanggar hak wanita untuk memilih apa yang terbaik untuk tubuh badan mereka sendiri.
Tambahan pula, beberapa pengkaji di Malaysia juga memberi pandangan yang serupa. Contohnya, Professor Harlina Halizah Siraj berpendapat bahawa khitan wanita perlu dihentikan memandangkan tiada bukti tentang kebaikannya, kecuali beberapa kes-kes terpencil seperti yang disarankan pakar perubatan.
Selain itu, Professor Mohammad Hashim Kamali, ulama Syariah yang terkenal juga memberi galakan yang sama supaya khitan wanita tidak lagi dipraktikkan.
Isu khitan wanita perlukan kajian yang lebih mendalam
Jelaslah, pandangan yang berbeza-beza dari pakar-pakar di seluruh dunia menunjukkan bahawa isu khitan wanita ini memerlukan lebih banyak kajian yang mendalam, kerana ia bukan sahaja melibatkan hak-hak wanita dan melampaui batas tatasusila manusia, tetapi untuk menamatkan kekejaman ke atas wanita yang sekian lama diperjuangkan.
Walaupun khitan di Malaysia tidaklah mendatangkan kemudaratan seperti praktis FGM yang dilaporkan di negara-negara lain, masih tidak menjamin ia membawa apa-apa kebaikan kepada para wanita.
Bukankah apabila isu kesihatan dan kebajikan seseorang manusia menjadi fokus utama, agama juga boleh melonggarkan syarat-syarat kewajipannya?