Pesta ‘padi’

Bagi suku Kadazan-Dusun, Pesta Kaamatan merupakan perayaan wajib yang harus berlangsung setiap tahun.

Sebagai rakyat Malaysia, Pesta Kaamatan bukanlah perkara asing walaupun hanya disambut di Sabah. Pesta Kaamatan atau panggilan lain seperti Tadau Kaamatan dan Magayau adalah upacara untuk menghayati Bambazon iaitu semangat padi.

Sejak zaman dahulu lagi suku Kadazan-Dusun mengamalkan tradisi dan perayaan yang sangat unik ini. Pesta Kaamatan biasanya akan dijalankan selepas padi dituai dan perayaan ini juga merupakan cuti yang sah setelah diluluskan oleh Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Walaupun pesta ini berkaitan dengan semangat padi, ia bukanlah perkara yang seram kerana dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Sugandoi, nyanyian, pertunjukan bina badan, sukan rakyat, pertandingan Unduk Ngadau dan persembahan kraftangan.

Kisah di sebalik Kaamatan
Ilutrasi kisah di sebalik Kaamatan.
Imej dari: DevianArt

Ceritanya bermula dengan seorang perempuan bernama Huminodun, yang merupakan anak kepada Kinoingan, iaitu Tuhan dan isterinya Suminundu. Masyarakat Kadazan-Dusun yang kebuluran hanya boleh diselamatkan jika Huminodun dikorbankan.

Mengikut adat istiadat yang ditetapkan, Huminodun dibunuh dan mayatnya dikuburkan. Menurut orang lama, mayat Huminodun mengeluarkan benih tumbuhan yang menjadi salah satu makanan utama bagi masyarakat iaitu padi.

Setelah berlakunya fenomena yang menakjubkan itu, di mana mayat Hominadun mengeluarkan benih padi, masyarakat Kadazan-Dusun mula mempercayai bahawa padi tersebut mempunyai semangat yang dinamakan Bambazon dan diraikan setiap tahun selepas musim menuai.

Sebab diadakan perayaan

Masyarakat Kadazan-Dusun percaya bahawa rezeki mereka akan makin bertambah dan tidak terputus jika mengamalkan pesta Kaamatan ini. Ini kerana melalui pesta ini, mereka memberi penghormatan yang tinggi kepada semangat padi setelah dituai dan dimasukkan ke dalam Tangko iaitu bekas untuk menyimpan padi.

Pesta Kaamatan juga merupakan salah satu catu untuk masyarakat Kadazan-Dusun memberi penghormatan kepada Tuhan mereka iaitu Kinorohingan yang sanggup mengorbankan anaknya supaya rakyatnya tidak mengalami kebuluran.

Gadis-gadis menawan dalam Unduk Ngadau
Peserta Unduk Ngadau.
Imej dari: New Straits Time

Semasa Pesta Kaamatan, akan adanya Unduk Ngadau iaitu pertandingan ratu cantik yang merupakan pertandingan yang paling unik di Sabah. Peserta dari setiap daerah akan menjalani saringan awal dan wakil daerah akan dihantar untuk bertanding di peringkat akhir Unduk Ngadau Kaamatan.

Peserta yang menjuarai Unduk Ngadau akan diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta negeri Sabah. Gadis tersebut akan menjadi orang penting untuk memperkenalkan adat resam Kadazan-Dusun, memperagakan pakaian tradisional, menjadi ikon tempat-tempat menarik, dan membawa nama Sabah ke serata dunia.

Selain Unduk Ngadau, persembahan dan pertandingan lain seperti tarian Sumazau juga turut berlangsung semasa pesta Kaamatan. Tarian ini diiringi paluan gong sementara kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan untuk kelihatan seperti sayap burung.

Memupuk perpaduan antara rakyat Sabah

Pesta Kaamatan secara menyeluruh dapat memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan rakyat di Sabah kerana ramai yang akan berkumpul untuk menghadiri perayaan tersebut dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang ada.

Perayaan yang berlangsung setiap tahun pada bulan Mei seperti ini juga penting untuk negeri Sabah dan Malaysia kerana dapat menonjol keunikan dan kekayaan pelbagai adat budaya pesta ini di seluruh dunia.

Want More Story From Us?