Ferdinan Magellan adalah pelayar Portugis yang diketahui dunia sebagai orang pertama yang mengelilingi dunia tetapi dakwaan ini telah menjadi perdebatan kebanyakan sejarawan oleh sebab satu nama yang dikenali sebagai Panglima Awang.
Panglima Awang, atau lebih dikenali oleh dunia sebagai Enrique de Malacca dan Henry the Black, adalah pemuda Melayu Sumatera yang pertama mengelilingi dunia.
Jurubahasa, navigasi Magellan
Apabila Portugis datang menyerang Melaka pada tahun 1511, Panglima Awang merupakan salah seorang tentera yang mempertahankan kota Melaka. Kejatuhan kota tersebut telah menyebabkan Magellan mengambil pemuda itu sebagai hamba.
Menurut catatan seorang kelasi Itali yang menyertai kru Magellan, Antonio Pigafetta, Magellan mengambil pemuda itu belayar bersama kerana pengetahuannya tentang navigasi dan kemahirannya berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.
Bukan itu sahaja, kebolehannya berbahasa Melayu ini memudahkan tuannya untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan termasuk Raja Calambu dari Limasawa berhampiran Pulau Leyte. Keupayaannya untuk berbahasa Sepanyol juga menambahkan kelancaran Magellan untuk berhubung dengan penduduk tempatan demi mendapatkan bekalan makanan dan jalinkan hubungan persahabatan.
Hamba kepercayaan Magellan
Oleh sebab kemahiran dan kemampuannya, Awang telah menjadi orang kepercayaan Magellan sehinggakan tangan serta kakinya tidak lagi diikat seperti hamba lain.
Tambahan pula, selepas Magellan dituduh terlibat dengan salah guna kuasa, perkhidmatan Awang telah ditawarkan oleh Magellan kepada Raja Charles dari Sepanyol, 1517 sebagai seorang yang fasih berbahasa tempatan dan pakar navigasi persekitaran kepulauan Melayu Nusantara. Kebolehan Awang ini sesuai dengan eskpedisi mereka untuk menerokai dunia.
Setelah mendapat kepercayaan Raja Charles, dengan kelengkapan armada serta kapal yang lengkap, mereka meninggalkan Sepanyol pada 20 September 1519 dan telah merentasi Lautan Atlantik, Amerika Selatan dan Pasifik.
Awang membalas dendam
Pada 17 Mac 1521, ekspedisi tersebut singgah ke Pulau Cebu. Kehadiran Magellan di pulau itu telah menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Humabon, meminta pertolongannya untuk melenyapkan sekumpulan pemberontak yang diketuai oleh pahlawan bernama Lapu Lapu.
Serangan yang dilakukan pada 27 April 1521 ini telah menyebabkan majoriti kru ekspedisi mati termasuk Magellan. Kematian Magellan membawa kesedihan yang mendalam kepada Awang.
Setelah kematian Magellan, Duarte Barbosa diangkat menjadi ketua ekspedisi tetapi tidak diterima baik oleh Awang. Masih dalam kecederaan dan berkabung atas kematian Magellan, Awang telah dicerca teruk oleh Barbosa sehingga menyinggung perasaannya.
Menurut catatan Pigafetta, Magellan telah menulis surat wasiat kepada Awang, mengatakan bahawa Awang dibebaskan menjadi hamba dan diberi wang pampasan sara hidup sebanyak 10,000 maravedi (mata wang Sepanyol) seandainya dia mati dalam pelayaran.
Tetapi Barbosa enggan melunaskan wasiat Magellan dan sebaliknya mengatakan bahawa Awang masih seorang hamba kepada isteri tuannya, Madame Beatrix. Hal ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati kepada Awang sehinggakan beliau bersepakat dengan Raja Humabon untuk menyerang hendap anak kapal Barbosa dalam satu jamuan yang dikenali sebagai ‘Jamuan Kematian’ (Banquet of Death).
Kehilangan Awang kekal misteri
Setelah peristiwa ‘Jamuan Kematian’, tiada lagi catatan mengenai Awang. Perkara ini telah menjadi perdebatan di kalangan sejarawan ke mana Awang telah pergi – ada yang mengatakan kemungkinan beliau pulang ke Melaka atau terus menetap di Cebu.
Meski pun Ferdinand Magellan dikenali ramai sebagai orang pertama mengelilingi dunia, para sejarawan seperti Samuel Eliot Morison, Carlos Quiriono dan John Keay berpendapat bahawa gelaran tersebut layak diberikan kepada Panglima Awang. Ini adalah kerana apa yang dilakukan oleh Awang melebihi apa yang dilakukan Magellan yang berakhir di Cebu, Filipina.
Walaupun begitu, tidak kira sama ada Magellan atau Awang, kedua-duanya telah berhasil mengubah sejarah dunia dengan keberanian dan kecekalan mereka sebagai pelayar yang agung.