Angka kematian akibat COVID-19 semakin meningkat saban hari meski pun pihak kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan. Kita sering dihebahkan dengan pelbagai berita melibatkan penularan virus COVID-19 semasa dalam tempoh kuarantin ini di media sosial.
Apabila kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ini, kadar pengguna media sosial juga turut meningkat kerana orang ramai inginkan perkembangan terkini mengenai COVID-19.
Pengguna media sosial seperti Facebook dan Twitter menjadi platform orang ramai semasa tempoh kuarantin ini. Terdapat beberapa khabar angin dan mitos mengenai Covid-19 yang sering timbul di internet.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menerbitkan sebuah artikel mengenai mitos untuk memastikan kita semua dikemaskini dengan maklumat yang betul mengenai virus COVID-19.
“Bolehkah makan bawang putih membantu mencegah jangkitan koronavirus?”
Menurut WHO, memakan bawang memang mampu membawa manfaat kepada diet seimbang, namun, tidak ada bukti saintifik menunjukkan ia mampu membantu melindungi diri daripada virus tersebut.
Mitos yang mengatakan memakan bawang mampu melindungi diri daripada virus COVID-19 ini dikongsi di Facebook oleh beberapa individu.
Berkumur air panas dengan garam atau cuka
Beberapa individu tidak bertanggungjawab telah berkongsi beribu-ribu kali di Facebook yang mendakwa bahawa berkumur air panas dengan garam atau cuka dapat menghilangkan virus COVID-19.
Dakwaan tersebut didapati palsu oleh pakar kesihatan antarabangsa di mana mereka tidak menyenaraikan berkumur sebagai kaedah pemulihan atau pencegahan yang berkesan untuk COVID-19.
Meminum, menyapu alkohol ke seluruh badan
Mitos ini sepatutnya sangat jelas bahawa ini adalah jenaka dalam bentuk meme, tetapi terdapat segelintir masyarakat yang percaya.
Mitos mengenai meminum alkohol mampu membunuh virus ini tidak seharusnya dijadikan sebagai jenaka kerana pelbagai pihak sedang berusaha untuk mencari penawar bagi menangani virus ini.
Terdapat segelintir masyarakat yang bertanya mengenai sama ada mereka dapat membunuh virus COVID-19 melalui menyembur alkohol atau klorin di seluruh badan. Namun perkara ini telah dinafikan oleh WHO dalam artikel mereka. Lebih buruk lagi, ia mungkin memudaratkan kesihatan.
Teori ikan singgang
Di media sosial, terdapat satu tulisan menunjukkan ikan singgang mampu menyembuhkan COVID-19.
Menu yang tular di media sosial itu hakikatnya tidak mampu menyembuh COVID-19 kerana tiada mana-mana pihak yang pernah atau sedang menjalankan kajian klinikal ke atas menu ikan singgang dan perkara ini tidak dapat disahkan.
Kesalahan informasi boleh menyebabkan orang panik
Kesalahan informasi semasa krisis kesihatan seperti ini boleh menjadi punca orang ramai panik.
Contoh yang dapat dilihat adalah semasa kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan dan orang ramai berpusu-pusu ke pasar raya dan bertindak melakukan pembelian panik.
Barang makanan seperti makanan dalam tin, beras, minyak masak dan mi segera habis diborong oleh orang ramai kerana bimbang mereka tidak ada sumber makanan jika perintah berkurung dikuatkuasakan.
Dapatkan sumber sahih
Orang ramai telah diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai virus COVID-19 ini bagi mengelakkan berlakunya panik.
Perkara ini perlu dipandang serius dan untuk mengelak penyebaran berita palsu berleluasa, orang ramai boleh mengikut sumber yang sahih melalui portal yang sahih seperti laman portal Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini yang diakui kebenarannya.