Kemarahan dan sikap tidak berpuas hati kini semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat, apatah lagi seluruh dunia pada ketika ini sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 yang telah meragut beribu-ribu nyawa dan menjangkiti lebih ramai lagi orang. Sehingga kemarahan menjadi cacian dan menghina mereka yang tidak bersalah.
Diskriminasi terhadap orang Asia
Sejak wabak COVID-19 kian menular di seluruh dunia, masyarakat hidup dalam ketakutan yang akhirnya bertukar menjadi kemarahan. Oleh sebab itulah, kebanyakan mereka mula menyalahkan negara-negara lain, kononnya penyakit ini bermula di negara yang telah dilawati.
Memandangkan COVID-19 dilaporkan bermula di bandar Wuhan, China, pelbagai prasangka, diskriminasi, prejudis, dan sikap perkauman dilakukan terhadap penduduk-penduduk China. Lebih menyedihkan, mereka dari negara-negara Asia yang lain turut terkena tempiasnya.
Soal diskriminasi ini dapat dilihat bukan hanya terjadi di dunia nyata malah pelbagai hinaan juga dicampakkan di media sosial. Pelbagai artikel, video dan berita menunjukkan orang Barat menyindir orang Asia, lebih-lebih lagi kaum Cina dan mereka yang tinggal di negara Barat tetapi berketurunan Cina.
Antara bentuk penghinaan yang dilontarkan ialah menamakan virus korona (corona virus) sebagai ‘Chinese virus’ dan ‘Kung-Flu’, serta pergerakan ‘anti-Asian’ yang kian memburuk.
Orang Asia dilayan buruk di negara Barat
Baru-baru ini, tular rakaman video tentang seorang wanita inggeris menghina seorang perempuan kaum Cina. Wanita inggeris tersebut mengeluarkan kata-kata kesat dengan berkata “Why are you wearing your mask, you Chinese and your corona?”
Walau bagaimanapun, wanita Cina tersebut tersebut menerangkan bahawa beliau memakai topeng muka bukan kerana dijangkiti COVID-19, sebaliknya beliau merupakan seorang pesakit kanser dan telah pun memakai topeng muka sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19.
Dengan itu, seluruh orang di dalam bas ketika itu mempertahankan wanita Cina tersebut dan terdapat juga orang lain yang cuba menolong mangsa kejadian ketika itu.
Selain itu, terdapat juga kes seorang pelajar Cina Singapura yang belajar di University College London dipukul ketika berjalan melepasi sekumpulan orang muda yang menjerit “Saya tidak mahu coronavirus anda di negara saya” kepadanya di Oxford Street, London. Pelajar tersebut mengalami kecederaan pada wajah dan lebam di matanya.
Peristiwa 11 september
Isu diskriminasi, prejudis (xenophobia) dan seangkatan dengannya sebenarnya telah lama berlaku, lebih-lebih lagi di negara barat. Sebagai contoh, peristiwa 11 September. Tragedi tersebut membuka mata semua masyarakat di setiap negara bahawa orang Islam dihina dan dicaci.
Jika kita imbas kembali, orang Islam ketika itu dianggap sebagai pengganas oleh orang Amerika Syarikat, terutama sekali orang Islam yang memakai tudung, purdah, dan kopiah. Tragedi tersebut menjadi punca wujudnya Islamfobia yang terus merebak.
Lebih menyedihkan, hal ini diburukkan lagi dengan perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling di Malaysia yang menyaksikan puluhan ribu rakyat Malaysia dan peserta dari negara-negara jiran berhimpunan kerana tuntutan agama, namun telah tercemar dengan menjadi punca gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
Sikap diskriminasi tidak menyelesaikan masalah
Meski pun sesuatu masalah itu puncanya daripada sesebuah kawasan atau seseorang, ia tidak memberi masyarakat yang lain sebab untuk menghina, mencaci, dan menunjuk sifat keganasan kepada seseorang individu yang tidak bersalah.
Wabak COVID-19 sudah pun sukar ditangani, oleh itu jangan jadikan isu diskriminasi dan sifat perkauman sebagai penambahan kepada ketakutan dan kemarahan dalam kalangan rakyat. Kerana nila setitik, jangan sampai rosak susu sebelanga.