Dalam banyak khazanah unik bumi Sarawak, pengumpulan sarang burung adalah salah satu daripadanya.
Sarang burung yang boleh dimakan (edible bird’s nest) didagangkan di Sarawak bukan cuma sebagai produk tempatan tetapi juga untuk dieksport ke negara luar seperti Hong Kong dan China. Selain dua negara ini, pengguna sarang burung terdiri daripada kaum Cina dari negara Timur dan Asia Tenggara, antaranya Semenanjung Malaysia, Singapura, dan juga Taiwan.
Dalam kalangan kaum Cina, sarang burung dipanggil sebagai yan wo (Mandarin), iaitu sejenis makanan istimewa yang mahal harganya.
Sarang burung diperbuat daripada liur burung walit
Sarang burung selalunya didapati di siling-siling gua, dan ia diperbuat daripada air liur burung walit (swiftlet’s saliva) yang asalnya dibina untuk burung tersebut membiak (breeding). Bentuknya yang seakan-akan cawan yang sempit bersaiz telur kecil mengandungi banyak bahan mineral yang baik untuk kesihatan seperti protein, kalsium, dan kalium (potassium).
Antara kebaikannya ialah menyelesaikan ketidakhadaman, membaikpulih sistem imunisasi, dan melegakan simptom penyakit lelah (asthma). Sebelum dimakan, sarung burung mestilah dibersihkan terlebih dahulu daripada segala campuran bulu burung, lumpur, dan ranting-ranting kayu.
Mengikut tradisi, orang asli yang mengutip sarang burung
Puak orang asli yang tinggal di kawasan gua adalah pengutip sarang burung, seperti yang dapat dilihat di Gua Niah. Mereka memanjat perancah (scaffolding) yang diperbuat daripada buluh dengan berkaki ayam dan betis yang tidak berlapik, dan memetik sarang burung menggunakan peralatan buluh istimewa.
Sarang burung yang dikumpul kemudiannya dijual kepada orang asli yang lain, atau orang tengah kaum Cina, atau terus kepada pedagang Cina. Tetapi semenjak pengenalan rumah ladang (farmhouse method) dan kekurangan sumber sarang burung di gua-gua, penduduk Sarawak terutamanya kaum Cina sudah mula mengumpul sarang burung mereka sendiri tanpa khidmat orang asli lagi.
Bangunan dibina untuk ‘memancing’ burung walit
Teknik rumah ladang ini bermula dari Indonesia, di mana bangunan-bangunan yang kelihatan seperti gudang dibina dengan pagar kecil mengelilingi dindingnya. Para peladang belajar tentang ekologi dan psikologi burung walit supaya bangunan yang ada dapat menarik burung-burung ini untuk membina sarang mereka.
Keadaan di dalam bangunan dipastikan menepati suhu dan kelembapan yang disukai burung walit, audio menyerupai kicauan burung walit dimainkan, dan bentuk isi dalam bangunan dipastikan supaya memberi keselesaan kepada burung walit untuk membina sarang. Semakin teknik ini diterima ramai, semakin berkembang maju industri sarang burung di Sarawak.
Sarang burung tarikan pelancong
Aktiviti pengumpulan sarang burung walit kini turut menjadi tarikan pelancong-pelancong yang melawat Sarawak, di samping banyak lagi khazanah Bumi Kenyalang yang kaya dengan nilai-nilai tradisi penduduknya yang berbilang kaum.
Jika dulu sarang burung cuma dihidang untuk mereka yang berstatus tinggi dalam masyarakat, kini nikmatnya boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja yang penasaran dan ingin mencuba kebaikan yang dibawa sarang burung.