Pengaruh agama Hindu telah wujud di Lembah Bujang sejak lama dahulu, dan ia terbukti dengan penemuan candi-candi di tempat yang sudah menjadi tapak warisan sejarah itu.
Sejarah membentuk identiti sesuatu bangsa, oleh itu pentingnya buat sesebuah negara untuk memelihara salasilah setidak-tidaknya tapak peninggalan khazanah lampau supaya generasi akan datang dapat belajar tentang asal-usul mereka.
Di Malaysia, antara tempat yang paling banyak menyimpan nilai-nilai sejarah ialah Lembah Bujang, sebuah pekan kecil yang terletak di negeri Kedah, tersisip di antara utara Gunung Jerai dan selatan Sungai Muda.
Tarikan para pedagang suatu masa dahulu
Kedudukan Lembah Bujang yang strategik telah menjadikannya sebagai tempat perdagangan yang terkenal suatu masa dahulu, terutamanya dalam kalangan pedagang-pedagang yang banyak menjalankan urusan jual-beli di China dan India.
Disebabkan pantai dan tebing pelabuhannya yang mudah dimudiki, jalan air semulajadi dan cerun bukit di sepanjang Sungai Muda memudahkan urusan para pedagang untuk menggunakannya sebagai jalan pintas untuk ke pelabuhan kerajaan-kerajaan lain seperti Langkasuka dan Srivijaya. Tanpa perlu menyelusuri Selat Melaka dan Laut China Selatan, perjalanan mereka untuk tiba ke destinasi menjadi lebih mudah dan cepat. Gunung Jerai juga digunakan sebagai mercu tanda oleh pedagang-pedagang dari India untuk pelayaran mereka.
Selain itu, pedagang-pedagang ini juga menjadikan Lembah Bujang sebagai tempat pertukaran dan penyimpanan barang dagangan. Penemuan artifak-artifak lama di Lembah Bujang selepas Malaysia mengecap kemerdekaan menjadi bukti berlakunya jual-beli antara pedagang-pedagang ini dengan penduduk tempatan.
Ketika aktiviti-aktiviti perdagangan giat dibangunkan, Lembah Bujang sudah pun didiami masyarakat tempatan terutamanya Orang Asli yang mengamalkan sistem ekonomi sara diri dengan bercucuk tanam dan menuai hasil hutan. Hasil tanaman dan barang-barang seperti kain, rempah, dan tembikar juga diperlukan oleh pedagang-pedagang, maka berlakulah jual-beli antara mereka.
Di samping itu, Lembah Bujang juga menjadi tempat perlindungan para pedagangan sementara menunggu pertukaran antara Angin Monsun Barat Daya di Selat Melaka dan Angin Monsun Timur Laut di Laut China Selatan.
Kedatangan para pedagang ke Lembah Bujang juga dikaitkan dengan pembawakan agama Hindu dan Buddha pada abad ke-5. Justeru, Lembah Bujang menjadi tempat penyebaran agama Hindu dan Buddha, yang mana kewujudannya terbukti dengan penemuan candi lama di sekitar pekan ini.
Pengaruh agama Hindu
Penemuan candi (atau kuil) di Lembah Bujang pada 1957 menarik minat pakar-pakar arkeologi terutamanya dari India untuk mengkaji sejarah sebenarnya. Dengan penemuan itu, kewujudan pengaruh agama Hindu di Lembah Bujang sejak zaman peradaban Kedah Tua tidak dapat dinafikan, dan ini secara tidak langsung telah menjadikan Lembah Bujang sebagai tapak tamadun agama Hindu.
Mengikut catatan sejarah yang tersimpan di India, telah wujud perjanjian damai antara Kedah dan Kerajaan Cholan sekitar kurun ke-10 sebelum Masihi, ketika puteranya iaitu Rajendra Cholan memerintahkan supaya sebuah candi dibina di Lembah Bujang. Ini bermakna sebelum penjajahan Portugis, Belanda dan British, sudah terdapat pengaruh Hindu di Tanah Melayu terdahulunya.
Penduduk tempatan pada hari ini percaya bahawa candi-candi yang telah ditemui di Lembah Bujang adalah milik orang Melayu pada zaman dahulu yang pernah menganut agama Hindu sebelum kedatangan Islam.
Terdapat 17 candi di Lembah Bujang yang telah didaftarkan. Justeru, tidak hairanlah sekiranya Lembah Bujang diangkat sebagai tapak warisan tamadun Melayu, di samping ada pihak yang percaya bahawa ia juga merupakan tapak tamadun Melayu-Hindu dan juga India-Hindu.
Candi Nombor 11 di Lembah Bujang telah dimusnahkan pihak pemaju pada 2013. Di sebalik kontroversi yang meletus kerana pemusnahan itu, ia sebenarnya adalah tapak tinggalan sejarah binaan candi dan bukannya keseluruhan struktur binaan sebuah candi.
Tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa Lembah Bujang mempunyai nilai berharga yang tersendiri, dan nilai itu memberi bukti bahawa sejarah masyarakat Melayu di bumi bertuah ini bermula dengan anutan agama Hindu sebelum ia digantikan dengan Islam.